BEIRUT, 28 Jun – Seorang anggota Hizbullah terbunuh, dan lima orang awam cedera pada Sabtu dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan, menurut pihak berkuasa kesihatan dan sumber keselamatan di Lubnan.
Dalam satu kenyataan, Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam, yang bergabung dengan Kementerian Kesihatan Awam, mengesahkan serangan dron Israel ke atas kenderaan di pekan Kounine, daerah Bint Jbeil, mengakibatkan seorang terbunuh dan seorang lagi cedera.
Sementara satu lagi dron Israel menyasarkan sebuah rumah dekat perkampungan Shaqra di daerah Bint Jbeil mencederakan empat orang awam, tambahnya.
Sumber keselamatan Lubnan memberitahu Xinhua bahawa orang yang terbunuh itu dikenal pasti sebagai Hassan Mohammad Jumaa, seorang anggota Hizbullah.
Insiden ini berlaku walaupun perjanjian gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel, yang ditengahi oleh Amerika Syarikat dan Perancis, berkuat kuasa sejak 27 November 2024. Perjanjian itu menamatkan lebih setahun permusuhan rentas sempadan dicetuskan oleh perang di Gaza.
Namun, tentera Israel terus melakukan serangan sekali-sekala di Lubnan, yang didakwa bertujuan untuk menghapuskan “ancaman Hizbullah”.
XINHUA