BESUT – Tiga maut, seorang kritikal dalam kejadian bot terbalik di Pulau Perhentian, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata dalam kejadian 10.30 malam itu, S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, dan saudara mereka V Vennpani, 10, maut manakala 12 lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun kritikal dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.
“Kejadian berlaku ketika ribut, hujan lebat dan laut bergelora menyebabkan bot yang membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun itu terbalik dan karam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat awal bot berkenaan dinaiki 16 orang termasuk seorang pemandu bot.
“Semua mangsa yang lain selamat dan masih berada di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian menunggu bantuan untuk dihantar ke Jeti Kuala Besut,” katanya.
Sementara itu BERNAMA melaporkan Azamuddin berkata hasil siasatan mendapati kesemua penumpang bot tidak memakai jaket keselamatan.
Pemandu bot berusia 20-an yang juga penduduk tempatan ditahan reman untuk membantu siasatan.
Beliau berkata pemandu bot itu juga didapati positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Justeru, pihak polis ingin menasihati orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ahli keluarga semasa di pantai peranginan.
“Pihak polis juga menasihati pengusaha bot supaya mengutamakan keselamatan pelancong dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan terutama pemakaian jaket keselamatan,” katanya.
BH ONLINE