
LONDON – Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin memberi amaran bahawa kebuluran di Gaza masih boleh dicegah, tetapi hanya jika ada kemahuan politik untuk bertindak.
Philippe Lazzarini, Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), berkata jumlah bantuan yang sampai ke wilayah itu “sangat tidak seimbang” dengan skala krisis.
“Apa yang kami minta tidak mustahil,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu, menggesa agar agensi PBB dibenarkan menyampaikan bantuan penting dan menjunjung maruah mereka yang memerlukan.
Menurut Lazzarini, hanya 900 trak bantuan telah memasuki Gaza sejak dua minggu lalu — hanya meliputi sekitar 10% daripada keperluan harian penduduk.
Dia menegaskan bahawa mencegah kebuluran memerlukan keputusan politik, bukan hanya usaha logistik.
Dia juga menggesa agar operasi kemanusiaan disambung semula sepenuhnya, yang sebahagian besarnya telah digantung sejak 2 Mac. Semasa gencatan senjata sebelum ini, UNRWA dan rakan kongsinya telah berjaya membawa masuk 600 hingga 800 trak setiap hari, katanya, sambil menggariskan bahawa adalah mungkin untuk meningkatkan bantuan jika akses diberikan.
Sementara itu, sumber perubatan di Gaza berkata sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin terbunuh dan 284 cedera dalam tempoh 24 jam lalu di tengah-tengah pertempuran yang berterusan.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan bahawa sejak konflik bermula pada Oktober 2023, 54,381 orang terbunuh dan 124,381 cedera, dengan wanita dan kanak-kanak merupakan sebahagian besar korban.
Sejak permusuhan disambung semula pada 18 Mac, berikutan gencatan senjata selama dua bulan, 4,117 orang lagi terbunuh dan 12,013 cedera, tambah sumber yang sama.
AN