JOHANNESBURG, 19 Julai – Seramai lima orang ditembak dan dibunuh oleh lelaki bersenjata tidak dikenali pada malam Jumaat di sebuah kedai minuman di Olievenhoutbosch, Pretoria, ibu kota pentadbiran Afrika Selatan, kata polis di Wilayah Gauteng pada Sabtu.
Menurut polis, lelaki bersenjata itu memasuki sebuah kedai minuman pada kira-kira jam 10:30 malam dan mula menembak secara rawak, membunuh lima orang tanpa berkata apa-apa.
“Polis sedang mencari kira-kira 10 suspek selepas lima orang, dua wanita dan tiga lelaki, ditembak mati, dan tiga lagi cedera di dalam kedai minuman di penempatan tidak rasmi Shoba di Olievenhoutbosch pada Jumaat,” kata Mavela Masondo, jurucakap polis Wilayah Gauteng.
Tambahnya, motif tembakan masih belum diketahui. Polis telah membuka kes bunuh dan cubaan membunuh untuk siasatan.
Jurucakap itu menggesa orang ramai supaya memberikan maklumat yang boleh membantu polis dalam menahan suspek.
XINHUA