NEW DELHI — Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 30 yang lain cedera, sesetengah daripada mereka kritikal, pada Selasa selepas bas yang membawa mereka merempuh pembentung di negeri Rajasthan di barat India, kata polis.
Kemalangan itu berlaku di Laxmangarh daerah Sikar, kira-kira 147 km barat laut Jaipur, ibu kota Rajasthan.
Menurut polis, bas persendirian yang penuh dengan penumpang itu dalam perjalanan dari Salasar ke Nawalgarh ketika kemalangan itu berlaku.
“Hari ini sebuah bas persendirian yang membawa penumpang tempatan bertembung dengan pembentung di sini. Dua belas orang telah kehilangan nyawa dalam kemalangan itu,” kata pegawai kanan polis, Satyendra Choudhary.
“Sebahagian daripada yang cedera telah dirujuk ke Jaipur dan selebihnya dirawat di Hospital SK, Sikar.”
Sejurus selepas kemalangan itu, penduduk tempatan memaklumkan polis, yang kemudiannya pasukan penyelamat dan ambulans ke bergegas ke tempat kejadian untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital.
“Tujuh orang maut di Laxmangarh dan lima orang kehilangan nyawa ketika menerima rawatan di hospital di sini,” kata Penguasa Hospital SK, Sikar, Dr Mahendra Khichad, “Seramai 37 pesakit telah dimasukkan ke sini, yang mana dua daripadanya diisytiharkan mati, tiga mati semasa rawatan dan tujuh dirujuk ke Jaipur dan selebihnya sedang menjalani rawatan di sini.”
Polis telah mendaftarkan satu kes dan mengarahkan siasatan untuk memastikan punca nahas.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di India, sebahagian besarnya disebabkan oleh muatan berlebihan, keadaan jalan raya teruk dan pemanduan melulu.
Kira-kira 150,000 orang terbunuh setiap tahun dalam kira-kira setengah juta kemalangan jalan raya di seluruh negara Asia Selatan itu, menurut pegawai.
XINHUA