Banjir di 9 negeri makin buruk, jumlah mangsa hampir 150,000 orang

KUALA LUMPUR — Banjir di sembilan negeri makin buruk dengan jumlah mangsa di 37 daerah ialah 149,606 orang daripada 44,795 keluarga yang ditempatkan di 698 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 7.30 pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.

Kelantan masih kekal negeri paling teruk dilanda banjir kali ini dengan sebanyak 283 PPS diaktifkan untuk menempatkan 95,783 orang daripada 29,640 keluarga yang terjejas di 10 daerah.

Di Terengganu, banjir yang melanda lapan daerah menyebabkan 42,179 mangsa daripada 11648 keluarga ditempatkan di 313 PPS.

Mangsa banjir di Kedah juga naik dengan mendadak apabila seramai 7,954 orang daripada 2,440 keluarga di tujuh daerah ditempatkan di 52 PPS manakala di Negeri Sembilan pula, 13 PPS di tiga daerah dibuka bagi memberi perlindungan kepada 1,925 mangsa daripada 540 keluarga.

Keadaan banjir di Johor merekodkan 588 mangsa membabitkan 174 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS di dua daerah manakala di Pahang sebanyak 405 mangsa daripada 134 keluarga ditempatkan di 15 PPS.

Sementara itu, banjir di Perlis ada menunjukkan pengurangan dengan 363 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka di dua daerah begitu juga di Selangor dengan bilangan mangsa 102 orang daripada 32 keluarga di satu PPS.

Di Melaka keadaan banjir tidak berubah dengan lima PPS diaktifkan bagi memberi perlindungan kepada 307 mangsa daripada 74 keluarga di tiga daerah.

BH ONLINE