KANGAR – Seorang warga emas cedera di kepala selepas dilibas parang oleh anaknya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) masalah mental di Kuala Perlis di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Halim Osman, 70, berada di ruang tamu rumahnya di Kampung Padang Besar Selatan, apabila dilibas dengan parang oleh anak lelakinya berusia awal 40-an.
Suspek dilaporkan lari menghilangkan diri selepas kejadian.
Isteri mangsa, Rodziah Mat, 67, berkata suasana berlaku dengan pantas dan tidak disedarinya.
Ketika kejadian, beliau berada di rumah bersama suami dan tiga anak mereka.
“Saya sedang mengambil wuduk untuk solat Asar sebelum mendengar suara suami saya memarahi seseorang.
“Sebaik keluar dari bilik air, saya terkejut suami tertiarap di lantai dengan berlumuran darah di kepala.
“Seorang daripada anak kami memberitahu abangnya (suspek) tiba-tiba memegang parang dan mengacukan kepada suami saya sebelum menetak bapanya di kepala dan telinga.
“Dia (suspek) terus lari dan menghilangkan diri selepas kejadian itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Katanya, suaminya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar oleh menantunya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis berhubung kejadian itu
Beliau berkata, anaknya itu mempunyai kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana mempunyai masalah ketidakupayaan mental tetapi tidak pernah bertindak sedemikian.
“Dia anak yang mendengar kata dan tidak pernah membantah jika diminta membantu, jadi kejdian semalam mengejutkan kami,” katanya.
Rodziah berkata, anaknya itu menjalani pemeriksaan kesihatan psikiatri setiap bulan di HTF.
Beliau berkata, suaminya mengalami kecederaan ringan dan berharap anak ketiga mereka itu segera pulang kerana turut mempunyai masalah kencing manis.
Sementara itu, sumber polis mengesahkan keluarga mangsa membuat laporan kejadian jam 8.26 malam di Balai Polis Kuala Perlis.
“Gerakan mengesan suspek dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar manakala mangsa dilaporkan stabil,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mengesahkan kejadian.
BH ONLINE