JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai memukul seorang pemandu lori kerana berang kereta dinaikinya dihon di Plaza Tol Kempas, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini, Ahad lalu.
Rakaman video menunjukkan lelaki itu memukul pemandu lori terbabit dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, turut tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata rakaman video itu telah dimuat naik dalam Facebook sebelum tular.
Katanya, polis mengesan video tular itu dalam Facebook yang memaparkan insiden pergaduhan membabitkan dua lelaki di Plaza Tol Kempas PLUS.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada pemandu lori berkenaan yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun, berhubung kejadian itu pada jam 5.35 petang Ahad lalu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada hari sama kira-kira jam 2.30 petang di Plaza Tol Kempas PLUS.
“Ketika menunggu giliran membayar tol, pengadu yang memandu lori membunyikan hon kerana sebuah kereta Proton Wira di hadapannya dikatakan tidak bergerak walaupun palang tol telah terbuka.
“Berikutan itu, seorang lelaki tidak dikenali telah keluar dari pintu penumpang kereta berkenaan dan meminta pengadu membuka pintu lori.
“Selepas pintu dibuka, lelaki itu didakwa memukul muka dan kepala pengadu beberapa kali. Pengadu kemudian dipercayai bertindak mempertahankan diri dengan menendang lelaki itu keluar dari lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Balveer Singh berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati kerana dihon.
Akibat kejadian itu, beliau berkata, pengadu dilaporkan mengalami sakit-sakit di bahagian belakang kepala.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara melalui talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.
BH ONLINE