BATU PAHAT – Semua masjid dan surau di negeri ini diminta menggunakan jam SIRIM untuk memastikan azan dilaungkan tepat pada masanya sekali gus mengelak timbul kesilapan seperti yang berlaku di sebuah masjid di Kluang, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd Fared Khalid, berkata jam Sirim yang disediakan kerajaan perlu dijadikan panduan kepada seseorang bilal untuk melaungkan azan.
Beliau berkata, bilal perlu mengelak berpandukan hanya jam peribadi kerana ada kemungkinan kerosakan berlaku sama ada berkaitan bateri atau sebagainya.
Katanya, pihaknya mengakui ada menerima aduan berhubung kesilapan di sebuah masjid di negeri ini yang mana azan dilaungkan tiga minit lebih awal hingga memberi kesan kepada jemaah yang kebetulan mengadakan program di masjid terbabit.
“Namun, semakan dilakukan mendapati, ia tidak membabitkan penduduk sekitar namun hanya memberi kesan kepada mereka yang membuat aktiviti termasuk jemaah di situ.
“Justeru, kita memberi nasihat kepada semua bilal di Johor agar lebih berhati-hati supaya mereka tidak mengulangi kesalahan seumpama ini. Biarpun ia hanya peristiwa terpencil tetapi kita berharap ia tidak berulang lagi.
“Cadangan kita adalah mengarahkan semua masjid dan surau seluruh negeri supaya menggunakan jam Sirim sebagai panduan dan bukannya jam peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ihya Ramadan dan Berbuka Puasa DUN Semerah, di Masjid Jamek Sekawan Desa, di sini, semalam.
Ditanya apakah punca insiden itu berlaku, Mohd Fared mengakui ia berkaitan kesilapan manusia yang tidak sepatutnya berlaku.
Kelmarin, bilal sebuah masjid di Kluang dilaporkan melaungkan azan Maghrib tiga minit lebih awal daripada waktu sebenar menyebabkan jemaah dan kumpulan yang mengadakan program di masjid itu berbuka puasa.
Tindakan itu turut mendukacitakan Pejabat Kadi Daerah Kluang kerana kedapatan orang yang berada di masjid itu berbuka puasa apabila mendengar laungan azan.
Susulan itu, Pejabat Kadi mengarahkan imam daerah mengambil tanggungjawab membuat laporan menyeluruh serta-merta berkaitan tindakan bilal terbabit kerana merosakkan nama baik masjid itu.
BH ONLINE