BINTULU – Dua lelaki maut apabila tercampak dari van selepas hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 16 Lebuhraya Pan Borneo Sibu-Bintulu, di Tatau, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Jame Reis, berkata kedua-dua mangsa yang berusia 18 dan 25 tahun disahkan maut di tempat kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Klinik Kesihatan Tatau yang turut berada di lokasi.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, van yang sarat dengan muatan barangan runcit itu dikatakan bergerak dari arah pekan Tatau menuju ke Bintulu sebelum hilang kawalan lalu terbabas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jame berkata, impak yang cukup kuat itu menyebabkan van terbabit berpusing beberapa kali sebelum terbalik manakala stok barangan runcit bertaburan di atas jalan raya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
BH ONLINE