MACHANG – Padah bermain mercun bola, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera parah pada dua jari kanan selepas mercun terbabit meletup sebelum sempat dilempar.
Kejadian berlaku di Batu 23 Jalan Sawmill, dekat Labok, pada malam Jumaat lalu dengan remaja itu cedera pada jari telunjuk dan jari hantu.
Ibu turi remaja itu, Siti Zuraini Mohamed, 24, berkata dia menyedari kecederaan dialami anak kedua daripada lima beradik itu selepas dimaklumkan saudaranya yang melihat kesan tompokan darah di atas tilam.
Pada malam kejadian, katanya anaknya bermalam di rumah sepupunya tidak jauh daripada rumah mereka dan ketika dikejutkan untuk bangun bersahur, anaknya itu memberitahu sakit kepala.
“Ibu saudaranya membawa minuman untuk diberikan kepada anak saya dan ketika pintu bilik diketuk, dia tidak mahu membukanya sehingga keesokan hari ternampak tompokan darah di atas tilam.
“Apabila ditanya, anak saya menjawab tidak tahu sehinggalah ternampak luka pada jarinya. Ibu saudaranya terkejut ketika hendak menyapu ubat luka apabila melihat keadaan jarinya parah,” katanya ketika dihubungi.
Remaja terbabit kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan, sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai berikutan kecederaan parah dialami.
BH ONLINE