KUALA LUMPUR — Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 146,611 orang, malam ini, berbanding 142,684 pada petang tadi.
Kelantan terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi, namun situasi bencana itu di tiga negeri membabitkan Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor mencatat penurunan mangsa, setakat jam 8 malam ini.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 285 PPS telah mencecah 93,158 orang daripada 28,830 keluarga, setakat ini, berbanding 91,279 pada petang tadi.
Berdasarkan maklumat portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 27,829 orang, diikuti Tumpat (16,390), Kota Bharu (13,754), Pasir Puteh (9,466) dan Kuala Krai (6,951).
Turut terkesan ialah Bachok dengan 6,634 mangsa banjir, Machang (6,075), Tanah Merah (5,334), Jeli (737) dan Gua Musang (27).
Menurut portal infobanjir.water.gov.my pula, air di tujuh sungai utama masih melepasi paras bahaya tetapi menunjukkan penurunan.
Sungai terbabit ialah Sungai Kelantan di Kusial Baru yang mencatat bacaan 17.92 meter (m), Sungai Kelantan di Kusial (17.93m), Sungai Golok di Rantau Panjang (11.20m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.52m), Sungai Golok di Tumpat (4.24m), Sungai Melor di Bachok (9.24m) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (4.10m).
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 41,409 orang, malam ini, berbanding 39,954 pada sebelah petang.
Besut muncul daerah paling terjejas dengan 15,984 mangsa banjir (4,260 keluarga) ditempatkan di 121 PPS.
Hulu Terengganu pula merekodkan seramai 6,652 mangsa banjir di 62 PPS; Setiu (6,470 orang, 50 PPS); Dungun (5,776 orang, 41 PPS); Kuala Terengganu (2,243 orang, lapan PPS); Kemaman (2,277 orang, 14 PPS); Kuala Nerus (1,214 mangsa, tujuh PPS); dan Marang (793 orang, lapan PPS).
Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kini meningkat kepada 8,580 orang (2,622 keluarga) berbanding 8,252 orang (2,514 keluarga) pada petang tadi.
Mereka ditempatkan di 52 PPS, iaitu 2,693 mangsa banjir di 16 PPS di Kubang Pasu; Kota Setar (2,820 orang, 12 PPS); Padang Terap (1,186 orang, sembilan PPS); Sik (1,087 orang, lapan PPS); Pokok Sena (594 orang, empat PPS); Kuala Muda (182 orang, dua PPS); dan Baling (18 orang, sebuah PPS)
Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 507 orang, setakat jam 8 malam ini, berbanding 449 pada petang tadi.
Tangkak mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi, iaitu 311 orang yang ditempatkan di tiga PPS membabitkan Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Rahmat, Sekolah Agama Bandar dan SK Abdullah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata sebuah lagi daerah terjejas banjir ialah Segamat dengan 196 mangsa ditempatkan di sembilan PPS.
Beliau berkata, air di tiga sungai iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak; Sungai Lenik di Ladang Cha’ah, Batu Pahat; dan Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang; dilaporkan berada pada paras bahaya.
Di Melaka, Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mangsa banjir meningkat semula kepada 293 orang (98 keluarga), setakat jam 8 malam, berbanding 198 orang (54 keluarga) setakat jam 4 petang tadi.
Kesemua mangsa terjejas adalah dari 32 lokasi, iaitu Melaka Tengah (111 orang di PPS SK Krubong); Alor Gajah (36 orang di PPS Japerun Durian Tunggal dan SK Ayer Jernih), dan Jasin (146 orang di PPS SK Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat).
Di Perlis, Pengarah APM negeri, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata jumlah mangsa banjir berkurang kepada 224 orang (60 keluarga), malam ini, berbanding 243 orang (65 keluarga) pada petang tadi, dengan 83 orang masih berlindung di PPS SK Arau di Arau dan 141 lagi di PPS Dewan Warisan, Kangar.
Di Negeri Sembilan, portal InfoBencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir di 13 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Tampin, Jempol dan Kuala Pilah, menurun kepada 1,985 orang (569 keluarga) berbanding 2,007 orang (573 keluarga) pada petang tadi.
Di Selangor, situasi banjir di Meru, Klang, menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa menurun kepada 229 orang (57 keluarga), malam ini, berbanding 302 pada petang tadi, dengan kesemua mereka berlindung di SK Sungai Binjai.
BH ONLINE-BERNAMA