Jurusolek didakwa lakukan seks luar tabii ke atas pelakon remaja

MELAKA – Seorang jurusolek lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas tuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelakon remaja lelaki di sebuah salun di Ayer Keroh, minggu lalu.

Saril Sarip, 42, dari Durian Tunggal, Alor Gajah, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Haderiah Siri dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Saril didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap penama berusia 18 tahun tanpa kerelaannya dengan meletakkan ketakutan kecederaan kepadanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di salun dandanan rambut milik tertuduh di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 4.15 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Tertuduh yang diwakili peguam L Sharveen dan Chua Yong Yi, turut dikehendaki melapor diri setiap bulan di Balai Polis Durian Tunggal sehingga kes selesai.

Peguam memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dan tertuduh yang masih bujang serta memiliki kedai gunting rambut di Ayer Keroh, berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Tertuduh juga perlu menyara ibu berusia 78 tahun yang menghidap darah tinggi dan penyakit usus serta menjaga kakak yang tidak bekerja.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat seperti dipohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 24 Februari depan bagi serahan dokumen.

BH ONLINE