LAHAD DATU – Seorang lelaki warga asing ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan kebun kelapa sawit, Ulu Segangan, Silabukan, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata mangsa berusia 23 tahun ditemui dengan kesan luka di bahagian belakang badan dipercayai akibat senjata tajam.
Katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan di lokasi, pasukan mengesan dan menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 29 tahun, dipercayai suami isteri.
“Kedua-duanya ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jimmy berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Lahad Datu.
Katanya, siasatan masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
BH ONLINE