Malaysia kesal kebiadaban Israel

NEW YORK — Malaysia menyatakan kekesalan mendalam terhadap tindakan biadab Israel susulan pembunuhan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, dengan menyifatkan negara Yahudi itu sebagai angkuh dan tidak menghormati keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika ditemui media selepas menyampaikan kenyataan negara di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-79, mengecam keras tindakan Israel yang disifatkan sebagai tidak peduli terhadap pandangan atau keputusan masyarakat antarabangsa.

“Kita amat kesal. Israel kini menjadi sebuah negara yang amat biadab, bongkak, dan tidak peduli kepada saranan, pandangan atau keputusan yang dibuat oleh PBB.

Mereka sudah melampaui batas dan kita perlu mengambil tindakan drastik untuk mengekang kebiadaban mereka,” kata Mohamad.

Beliau menekankan keperluan untuk mengenakan sekatan senjata ke atas Israel bagi menghalang negara itu daripada terus menggunakan senjata untuk membunuh rakyat tidak bersalah, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Jika kita tidak mengambil tindakan segera, kebiadaban ini akan berterusan. Hari demi hari, tahun demi tahun, kita hanya bersuara seperti ‘anjing menyalak bukit’, tetapi tiada apa-apa perubahan.

Saya juga menyatakan perkara ini kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan beliau turut menyatakan rasa kesal terhadap situasi ini,” kata beliau.

Terdahulu ketika sesi penyampaian kenyataan negara, Mohamad turut menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya menggunakan kuasa di bawah Bab 7 untuk mengenakan sekatan senjata dengan segera terhadap Israel dan menekankan pentingnya menghentikan keganasan dan memastikan akauntabiliti atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Hizbullah pada Sabtu mengumumkan bahawa Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah telah terkorban dalam serangan udara rejim Zionis di pinggir bandar selatan Beirut, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Hizbullah menyatakan, “Seyyed Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hizbullah, telah menyertai rakan-rakan syahidnya yang agung dan abadi, yang jalannya dipimpinnya selama kira-kira 30 puluh tahun, gugur di jalan menuju Baitulmuqaddis dan Palestin.”

Hizbullah menekankan kepimpinan Nasrallah selama berdekad dalam penentangan terhadap Israel, sambil menyatakan bahawa dedikasinya kepada perjuangan pembebasan Palestin telah mendefinisikan kehidupannya dan kini ‘kesyahidannya’.

Nasrallah, yang menjadi Setiausaha Agung Hizbullah sejak 1992, memainkan peranan penting dalam pergerakan penentangan dari Lubnan, terutama dalam konfrontasi dengan tentera Israel.

BH ONLINE – BERNAMA