Pelancong Hong Kong maut dilanggar kereta api ketika mengambil gambar di Hokkaido Jepun

TOKYO – Seorang pelancong dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) China meninggal dunia di Otaru, Hokkaido, Jepun, selepas dilanggar kereta api pada Khamis.

Menurut laporan media Jepun, kemalangan itu berlaku sekitar jam 11:30 pagi waktu tempatan dekat lintasan kereta api di Laluan JR Hakodate. Mangsa dilaporkan berada di landasan mengambil gambar lautan menggunakan telefon pintarnya ketika dia dilanggar oleh kereta api Ekspres Lapangan Terbang yang dalam perjalanan dari Otaru ke Lapangan Terbang New Chitose. Dia dikejarkan ke hospital tetapi kemudian disahkan meninggal dunia.

Kemalangan itu mengganggu perkhidmatan tren selama kira-kira sejam setengah, menjejaskan 19 tren.

Konsulat jeneral China di Sapporo mengesahkan ia telah segera menghubungi pihak berkuasa Jepun untuk mengumpulkan butiran mengenai kejadian itu. Pihak konsulat sedang memantau dengan rapi keadaan dan sedang berkomunikasi dengan pihak berkaitan untuk memberikan bantuan diperlukan kepada keluarga mangsa.

XINHUA