Pemandu pandu secara berbahaya akan digantung lesen – Loke

KUALA LUMPUR – Pemandu yang dikesan membantu secara berbahaya akan diambil tindakan penggantungan atau pembatalan lesen oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tindakan itu diambil bagi mengelakkan pemandu melakukan kesalahan jalan raya.

“Merujuk kepada insiden syarikat bas ekspres semalam, syarikatnya (Konsortium E-Mutiara Bhd) atau E-Mutiara sudah menggantung tugas pemandunya yang memandu secara berbahaya.

“Sekiranya ada kes sebegitu, kita akan mengarahkan syarikat bas berkenaan menggantung tugas pemandunya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Operasi Perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang diadakan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) di Depoh Rapid Bus Maluri Jalan Cheras, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Semalam, syarikat bas ekspres, E-Mutiara mengambil tindakan drastik menggantung serta-merta tugas pemandunya selepas dikesan memandu secara berbahaya di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, baru-baru ini.

Tindakan itu diambil selepas perlakuan itu tular di media sosial yang memperlihatkan bas milik E-Mutiara memotong deretan kenderaan secara berbahaya di garisan berkembar.

Pengerusinya, Che Ibrahim Che Ismail dilaporkan berkata, syarikatnya akan membuat keputusan susulan selepas siasatan lanjut berhubung perkara itu siap sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, Loke memaklumkan, garis panduan berhubung penggunaan soket elektrik tiga pin termasuk pengecas mudah alih USB dalam bas sedang dimuktamadkan.

“Garis panduan itu masih sedang dibuat,” katanya.

Pada 20 November lalu, Loke dilaporkan berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak membenarkan penggunaan soket elektrik tiga pin termasuk pengecas mudah alih USB dalam bas oleh orang ramai susulan laporan awal yang mendapati pendawaian tidak teratur pada perkakas itu punca seorang remaja maut direnjat elektrik.

Beliau dilaporkan berkata, mendedahkan remaja maut direnjat elektrik ketika mengecas telefon menggunakan pengecas USB dalam bas dinaikinya.

Surat pemakluman kepada semua pengendali bas dikeluarkan pada 6 November lalu untuk menghentikan penggunaan semua soket terbabit dalam bas dengan serta-merta.

BH ONLINE


Facebook Posts