
BENTONG – Juruterbang helikopter pengangkut yang terbabit kemalangan, di sini terselamat selepas ditarik keluar pengawal keselamatan bertugas di tapak perkhemahan di lokasi kejadian.
Sumber berkata, ketika kejadian pengawal keselamatan warga tempatan berusia 38 tahun sedang berada tidak jauh dari tempat pendaratan.
“Pengawal keselamatan terbabit berlari ke arah helikopter selepas pesawat itu terhempas dan terbakar di tapak pendaratan.
“Dalam keadaan helikopter sedang terbakar, pengawal keselamatan menarik keluar juruterbang yang sudah membuka tali pinggang keledar dipakainya ke kawasan selamat,” katanya kepada BH berdasarkan keterangan pengawal keselamatan terbabit yang juga saksi utama kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, mengesahkan pengawal keselamatan yang menyelamatkan juruterbang terbabit antara dua saksi kejadian berkenaan.
“Setakat ini kita sudah merakam percakapan kedua-dua saksi terbabit yang juga warga tempatan,” katanya.
Berdasarkan maklumat diterima BH, juruterbang yang cedera dan jurutera yang meninggal dunia dalam nahas ini adalah dari sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan udara yang berpangkalan di Indonesia.
Syarikat ini dilapor melakukan kerja pengangkutan kabel untuk penyelenggaraan tapak projek milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bentong.
Selain itu, lokasi nahas yang juga tapak perkhemahan dilaporkan disewa untuk penempatan helikopter dan tempat pengisian minyak sejak enam hari lalu.
Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger dilapor terhempas pada ketinggian kira-kira 0.9 meter selepas melakukan penerbangan dari tapak projek TNB sejauh 16 kilometer (km).
Helikopter itu terhempas selepas skid atau kaki bawah helikopter bergesel tempat pendaratan sebelum terbalik dan terbakar.
Ketika kejadian hanya juruterbang dikenali sebagai Kustiyadi, 44, berada dalam helikopter, manakala jurutera yang terkorban atau marshal pendaratan dikenali Finsen Resky Sembiring, 27, yang berada di tapak pendaratan, maut selepas terkena bilah helikopter.
Finsen, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Bentong jam 11.20 pagi, manakala Kustiyadi dihantar ke Hospital Bentong, untuk rawatan lanjut.
BH ONLINE