KULAI – Seorang penunggang basikal warga Singapura maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Gunung Pulai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan penunggang basikal dan treler jenis Hanvan itu kira-kira jam 9.45 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang basikal berusia 42 tahun itu sedang berbasikal bersama tiga lagi penunggang basikal terlanggar lubang sebelum terjatuh di atas jalan raya.
“Ketika kejadian, pemandu treler lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang dalam perjalanan ke Singapura untuk menghantar batu tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang terperosok di bawah treler itu cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat penunggang basikal itu kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.
BH ONLINE