PTPTN: 2.7 juta peminjam belum bayar balik RM32.29 bilion

KUALA LUMPUR — Sebanyak RM32.29 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), daripada RM71.3 bilion berada dalam kategori ‘sepatutnya dibayar balik’ oleh 2,716,110 peminjam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata jumlah pinjaman yang sepatutnya dibayar balik itu direkodkan hingga 31 Disember lalu.

“Hingga 31 Disember 2023, PTPTN sudah meluluskan 3,951,404 pinjaman dengan jumlah keseluruhan dikeluarkan sebanyak RM71.3 bilion.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,716,110 pinjaman sudah patut mula dibayar balik dengan amaun patut bayar balik keseluruhan berjumlah RM32.29 bilion,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta menteri pendidikan tinggi supaya menyatakan jumlah hutang keseluruhan yang terakru atau terhutang oleh pelajar di bawah pinjaman PTPTN setakat tahun 2023.

Hok Liong juga ingin tahu jumlah keseluruhan peminjam Melayu, Cina dan India setakat tahun 2023 dan peratusan peminjam Melayu, Cina dan India yang berhutang sehingga tahun 2023.

Menurut Zambry, seramai 2,842,682 peminjam atau mewakili 71.9 peratus, adalah terdiri daripada Bumiputera.

Namun beliau berkata, tiada kuota atau peruntukan khusus ditetapkan kementerian membabitkan kemudahan pinjaman PTPTN.

Sebaliknya beliau berkata, ia terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta politeknik.

“Ia perlu memenuhi syarat kelayakan masuk yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), tanpa ada kuota atau peruntukan khusus yang ditetapkan, tertakluk kepada syarat-syarat lain yang ditetapkan.

“Namun jumlah kelulusan adalah bergantung kepada permohonan yang diterima dan syarat lain yang ditetapkan, di mana sebanyak 2,842,682 pinjaman atau 71.9 peratus adalah kaum Bumiputera.

“Sementara 1,108,722 atau 28.1 peratus pinjaman adalah bukan Bumiputera,” katanya.

BH ONLINE