MELAKA – Kes curi kenderaan terutama membabitkan pacuan empat roda semakin membimbangkan di negeri ini sejak sebulan lalu, dengan purata satu kenderaan dilapor hilang setiap minggu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kegiatan dipercayai didalangi sindiket yang menyasarkan kenderaan jenis itu sebelum dipercayai diseludup ke negara jiran berikutan permintaan tinggi daripada pembeli termasuk di Thailand, Kemboja dan Laos.
Beliau berkata, laporan diterima mendapati kenderaan seperti Toyota Hilux, Ford Raptor dan Mitsubishi Triton dicuri meskipun ditinggalkan dalam keadaan berkunci dan berpagar, dengan maklumat mengatakan ia dijual di negara ketiga dengan harga serendah RM10,000 seunit.
“Sehingga kini (Januari hingga April) sudah 15 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda dilaporkan dengan anggaran kerugian hampir RM1.5 juta.
“Kita terima laporan kecurian tertinggi berlaku di Melaka Tengah, jadi saya minta masyarakat yang memiliki kenderaan ini lebih berhati-hati bagi mengelak dicuri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Melaka serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka yang baharu.
Majlis itu menyaksikan kenaikan pangkat Asisten Komisioner Nor Azizan Yusof sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Melaka, manakala Superintendan Mohd Nazri Ismail dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka yang baharu.
Terdahulu dalam ucapannya, Dzulkhairi berharap kenaikan pangkat itu menyuntik semangat Nor Azizan dan Mohd Nazri untuk terus komited menjalankan tugas sebagai satu amanah dan tanggungjawab.
“Pikullah amanah dan tanggungjawab ini sepenuh hati serta berkhidmatlah dengan profesional, ikhlas, jujur dan sentiasa mengamalkan integriti tinggi setiap masa,” katanya.
BH ONLINE