QAMISHLI, Syria – Beribu-ribu wanita berhimpun di bandar Qamishli di timur laut Syria pada Isnin untuk menuntut pemerintah Islamis baharu di Damsyik menghormati hak wanita dan mengutuk kempen ketenteraan disokong Turki di wilayah pimpinan Kurdish di utara.
Ramai penunjuk perasaan mengibarkan bendera hijau Unit Perlindungan Wanita (YPJ), sekutu militia Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) yang Turkiye anggap sebagai ancaman keselamatan negara dan mahu dibubarkan segera.
“Kami menuntut hak wanita dari negara baru … dan wanita tidak boleh dikecualikan daripada hak dalam sistem ini,” kata Sawsan Hussein, seorang aktivis hak wanita.
“Kami (juga) mengutuk serangan pendudukan Turki terhadap bandar Kobani.”
Kumpulan Kurdish telah menikmati autonomi di sebahagian besar utara sejak perang saudara Syria bermula pada 2011. Miltia YPG Kurdish, yang mengetuai kumpulan bersenjata Pasukan Demokratik Syria (SDF) disokong Amerika Syarikat (AS), merupakan kuasa utama di kawasan itu.
Tetapi keseimbangan kuasa Syria telah beralih daripada kumpulan ini sejak kumpulan Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) Islamis menyerang Damsyik dan menggulingkan Bashar Assad dua minggu lalu, mewujudkan pentadbiran baharu yang mesra dengan Ankara.
Kumpulan Kurdish yang dominan di Syria berpegang kepada ideologi yang menekankan sosialisme dan feminisme — berbeza dengan pandangan konservatif Islamis Sunni HTS, bekas sekutu Al-Qaeda.
Turkiye melihat YPG sebagai lanjutan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah melancarkan pemberontakan terhadap negara Turki sejak 1984 dan dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye, AS dan Kesatuan Eropah (EU).
Permusuhan antara SDF dan pasukan Syria disokong Turki dikenali sebagai Tentera Kebangsaan Syria telah meningkat sejak Assad digulingkan, dengan SDF dihalau keluar dari bandar utara Manbij.
Pemimpin Kurdish Syria telah memberi amaran bahawa tentera Turki sedang menggerakkan serangan ke atas bandar Kobani yang dikawal SDF di sempadan Turki, juga dikenali sebagai Ayn Al-Arab.
Terdapat kebimbangan meluas dalam kalangan rakyat Syria bahawa pentadbiran baru Damsyik akan cenderung kepada pemerintahan Islamis garis keras, meminggirkan kaum minoriti dan wanita daripada kehidupan awam.
Obaida Arnout, jurucakap kerajaan peralihan Syria, berkata minggu lalu bahawa “sifat biologi dan fisiologi” wanita menyebabkan mereka tidak layak untuk pekerjaan kerajaan tertentu.
AN-REUTERS/23 Dec 2024/23:44