DAMSYIK – Pertempuran antara kumpulan didukung Turki, disokong oleh serangan udara, dan tentera pimpinan Kurd membunuh 37 orang pada Khamis di wilayah Manbij utara Syria, kata pemantau perang.
Pertempuran terbaru yang dilaporkan berlaku walaupun Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu bahawa ia sedang berusaha untuk menangani kebimbangan Turkiye di Syria untuk menghalang sekutu NATO itu daripada meningkatkan serangan terhadap pejuang Kurdish.
Pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights melaporkan “pertempuran sengit di kawasan luar bandar Manbij… dalam beberapa jam lalu antara Pasukan Demokratik Syria (SDF) (dipimpin Kurd) dan puak Tentera Kebangsaan (disokong Turki)… dengan perlindungan udara Turki”.
“Serangan itu membunuh 37 orang dalam jumlah awal,” kebanyakannya pejuang disokong Turki, tetapi juga enam pejuang SDF dan lima orang awam, kata pemerhati berpangkalan di Britain dengan rangkaian sumber di dalam Syria itu.
Pemantau itu berkata sekurang-kurangnya 322 orang terbunuh dalam pertempuran di kawasan luar bandar Manbij sejak bulan lalu.
Kurd Syria menguasai sebahagian besar kawasan timur laut negara yang kaya dengan minyak itu, di mana mereka menikmati autonomi de facto semasa kebanyakan perang saudara sejak 2011.
SDF disokong AS menerajui kempen ketenteraan yang menggulingkan militan kumpulan Daesh dari wilayah terakhir mereka di Syria pada 2019.
Tetapi Turkiye menuduh komponen utama SDF, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), bergabung dengan PKK, yang telah melancarkan pemberontakan selama empat dekad terhadap negara Turki.
PKK dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan kebanyakan sekutu Barat Turkiye.
Turkiye telah melancarkan beberapa operasi terhadap SDF sejak 2016.
AN-AFP