SHAH ALAM – Operasi perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan pagi tadi ekoran terlanggar lima lelaki yang menceroboh masuk ke landasan kereta api.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan berkata, tren komuter No 2110 berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada jam 6.39 pagi dengan kapasiti seramai 200 penumpang terpaksa berhenti akibat terlanggar penceroboh di kilometer 34.734 antara Teluk Pulai Klang.
“Penumpang dibawa ke Stesen Klang diiringi anggota Polis Bantuan dan kakitangan KTMB yang bertugas untuk menaiki bas perantara yang disediakan di stesen untuk ke Stesen Subang Jaya.
“Oleh demikian, tren terbabit mengalami kerosakan dan menyebabkan kelewatan melebihi 60 minit.
“Lokomotif bantuan dihantar untuk membawa tren komuter yang terjejas bagi membolehkan kerja pengalihan mayat seorang dari lima individu yang menceroboh dilakukan supaya perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.
“Penumpang yang terjejas untuk tren berikutnya juga dibawa menaiki bas perantara percuma yang disediakan ke Stesen Subang Jaya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha menegaskan, landasan kereta api adalah kawasan larangan dan individu yang menceroboh landasan kereta api boleh dikenakan denda sebanyak RM500 mengikut Seksyen 126, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam kejadian itu, katanya, seorang penceroboh dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi mengalami cedera ringan.
“Mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan. Siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Untuk sebarang bantuan lanjut, penumpang boleh berhubung dengan kakitangan stesen yang bertugas.
“Perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial rasmi KTMB atau hubungi Pusat Panggilan di talian 03-9779 1200,” katanya.
NSTP sedang mendapatkan pengesahan dengan Ibu Pejabat Polis Klang Selatan berhubung kejadian ini.
BH ONLINE