77,695 mangsa banjir masih berlindung di 274 PPS

KUALA LUMPUR — Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri semakin berkurangan kepada 77,695 orang petang ini berbanding 95,207 yang direkodkan, pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 3 petang, mangsa terdiri daripada 23,459 keluarga yang masih berlindung di 274 pusat pemindahan sementara (PPS.

Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 46,681 orang daripada 14,836 keluarga yang ditempatkan di 101 PPS.

Di Terengganu, 21,975 mangsa daripada 5,813 keluarga dari lapan daerah terjejas masih mendapatkan perlindungan di 101 PPS.

Di Kedah, seramai 7,123 mangsa daripada 2,251 keluarga ditempatkan di 37 PPS, manakala sebuah PPS masih beroperasi di Pahang bagi menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Johor pula mengaktifkan 22 PPS di dua daerah bagi memberi perlindungan kepada 1,096 orang daripada 312 keluarga dengan Perak menempatkan 644 orang daripada 202 keluarga di 10 PPS.

Selain itu, dua PPS di Melaka masih dibuka bagi menempatkan 172 orang daripada 44 keluarga.

BH ONLINE