799 pelajar jadi mangsa jenayah rogol dalam tempoh Januari hingga Jun lalu

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 799 pelajar dilaporkan menjadi mangsa jenayah rogol antara tempoh Januari hingga Jun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata dalam tempoh sama juga, pembabitan pelajar dalam kegiatan jenayah seperti buli dan gangsterism didapati semakin meningkat.

Beliau berkata, sejumlah 237 pelajar direkodkan terbabit dengan jenayah kekerasan ini seperti mencederakan merusuh, ugutan jenayah, pemerasan, gaduh gempar dan khianat.

Katanya, walaupun statistik pelajar jadi mangsa jenayah rogol yang direkodkan itu kecil, tindakan pencegahan adalah mustahak bagi membanteras jenayah tersebut.

“Walaupun jumlah tersebut adalah kecil berbanding jumlah pelajar sekolah rendah dan menengah yang melebihi lima juta orang, namun tindakan pencegahan penting bagi mengekang peningkatan pembabitan di masa hadapan,” katanya.

Peratusan itu dibacakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pada majlis pelancaran Kit Duta Sahsiah Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Kovensyen HGH di sini hari ini.

Kit Duta Sahsiah itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Dalam usaha mengekang peningkatan kes jenayah dalam kalangan murid sekolah, Razarudin berkata, PDRM menghasilkan Modul Kesedaran Jenayah Terhadap Kanak-Kanak dan Remaja (MESRA).

Beliau berkata, MESRA mempunyai lapan sub modul seperti kesalahan seksual, buli dan gangsterisme, penyalahgunaan dadah, kesalahan lalulintas, pemerdagangan orang, penipuan dalam talian dan kesihatan mental.

“Kementerian Pendidikan (KPM) dan PDRM akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan mempelbagaikan inisiatif termasuk pembabitan PPS dalam memantau dan menangani isu salah laku disiplin pelajar di sekolah.

“PDRM menyokong sepenuhnya inisiatif pelantikan Duta Sahsiah dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah dan saya percaya ia akan memberi aspirasi yang lebih memberangsangkan dalam kalangan murid.

“Ikon Duta Sahsiah yang ada di setiap sekolah ini boleh memberikan pengaruh tersendiri, menginspirasi rakan murid yang lain untuk meneladani personaliti, tingkah laku dan perwatakan baik yang dipamerkan,” katanya.

BH ONLINE