BATU PAHAT – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimpan harta curi serta menceroboh kediaman milik hakim mahkamah syariah daerah ini, bulan lalu.
Tertuduh Surindran Silvaraju, 38, dan Muhammad Daniel Sivarajah Abdullah, 37, yang mana kedua-duanya mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Surindran yang berdepan tiga pertuduhan, dihantar ke Hospital Permai Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan psikiatrik bagi menentukan sama tertuduh layak membuat pengakuan dan dijatuhi hukuman selari dengan Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Sementara itu, Muhammad Daniel yang berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan bagi kedua-dua sabitan itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Surindran didakwa dengan curang menyimpan harta curi milik hakim syarie berusia 50 tahun iaitu komputer riba, pembaca kad pelbagai guna serta beberapa aksesori komputer di sebuah rumah di Kampung Merdeka di sini, 10.40 malam, 19 Januari lalu.
Pertuduhan kedua, tertuduh yang juga penganggur didakwa bersama Muhammad Daniel menyimpan harta curi berupa barang kemas berupa rantai, gelang tangan, cincin milik wanita berusia 26 dengan kejadian ini berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Untuk kedua-dua pertuduhan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 411 yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ketiga, dia dan Muhammad Daniel didakwa menolong menghapuskan seutas gelang tangan milik wanita berusia 58 tahun di sebuah kedai pajak gadai, Jalan Yahya dan Jalan Rahmat di sini, 12.30 tengahari, 21 Januari lalu.
Seksyen 414 pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada jam 3 pagi, 18 Januari lalu, pengadu terjaga dari tidur dan mendapati pintu terbuka serta terdapat kesan umpil pada geriji.
Pemeriksaan mendapati keadaan rumah berselerak dan beberapa barangan berharga hilang dengan laporan polis kemudian dibuat pada hari sama.
Hasil pandu arah kedua-dua tertuduh, polis menemui semula barangan dilarikan termasuk yang sudah dijual di kedai pajak gadai.
Siasatan polis mendapati, Muhammad Daniel memiliki tiga rekod lampau termasuk kes penculikan serta mendatangkan kecederaan parah antara tempoh 2014 hingga 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Safiah A Aziz.
Mahkamah memutuskan Muhammad Daniel dipenjara 18 bulan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 411 dan 20 bulan untuk Seksyen 414 dengan kedua-dua hukuman ini berjalan serentak.
BH ONLINE