Sekatan penerbangan sementara dikenakan di lapangan terbang Rusia di tengah-tengah kebimbangan keselamatan

MOSCOW – Sekatan sementara ke atas ketibaan dan pelepasan pesawat telah dikenakan di lapangan terbang Rusia di Astrakhan, Kazan, Ulyanovsk, Nizhnekamsk dan Saratov, kata pihak berkuasa pada Isnin.

Langkah sementara yang diperkenalkan awal pagi Isnin adalah “bagi memastikan keselamatan operasi pesawat awam,” kata Artem Korenyako, wakil Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia, dalam catatan Telegram.

Korenyako menekankan bahawa “kru pesawat, pengawal trafik udara, dan perkhidmatan lapangan terbang mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan penerbangan, yang kekal sebagai keutamaan”.

Pengumuman itu susulan kebimbangan keselamatan yang meningkat selepas laporan serangan dron di wilayah Astrakhan.

Gabenor Astrakhan Igor Babushkin berkata, Ukraine melancarkan serangan dron semalaman, cuba menyerang kemudahan di rantau itu.

“Sistem perang elektronik dan pertahanan udara beroperasi seperti yang dikehendaki… Tiada kemalangan jiwa,” kata Babushkin di saluran Telegram.

XINHUA