ALOR SETAR – Dua sahabat yang maut dalam nahas kereta Perodua MyVi dinaiki melanggar penghadang jalan di hadapan sebuah sekolah di sini malam tadi, dikatakan dalam perjalanan pulang selepas solat tarawih.
Dalam kejadian jam 10.20 malam tadi, kereta dinaiki lima sahabat dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar penghadang di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini.
Kelima-lima remaja berusia 18 tahun itu sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mangsa yang maut disahkan sebagai Muhammad Dhani Arumi Mohd Azlan dan Muhammad Danish Iqbal Mohd Niza.
Tiga lagi rakan yang parah masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kenderaan dari arah Jalan Alor Mengkudu itu dipercayai gagal dikawal dan terbabas ke bahu jalan lalu merempuh tiang elektrik, pokok kelapa dan hentian bas di lokasi.
“Akibat perlanggaran itu, semua mangsa tersepit dan dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.
“Pegawai perubatan kejadian mengesahkan dua daripada mangsa iaitu penumpang hadapan kiri dan penumpang belakang kiri maut di lokasi, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala tiga mangsa yang parah menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
BH ONLINE