BEAUFORT – Aktiviti perniagaan sekitar Pekan Beaufort di sini, lumpuh sepenuhnya apabila hampir keseluruhan kawasan pekan ini ditenggelami air berikutan banjir besar yang melanda daerah ini sejak kelmarin.
Tinjauan mendapati semua jalan raya di kawasan pekan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan, manakala sebahagian besar tingkat bawah premis dimasuki air.
Turut terjejas ialah premis bertiang, khususnya bangunan kedai lama yang dibina khas bagi mengelak banjir yang menjadi ciri ikonik pekan Beaufort.
Dengan ketinggian tiang lebih semeter dari permukaan tanah, paras air banjir akibat limpahan air Sungai Padas kebiasaannya tidak melepasi lantai bangunan.
Namun, situasi berbeza kali ini apabila paras air turut melepasi lantai bangunan bertiang, menggambarkan banjir luar biasa yang melanda daerah ini.
Selain premis kedai, banjir turut memasuki stesen kereta api dan menjejaskan perkhidmatan yang menghubungkan daerah ini dengan Kota Kinabalu dan kampung di bahagian hulu Sungai Padas.
Beberapa premis kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Klinik Pergigian, Klinik Kesihatan serta beberapa sekolah berhampiran pekan juga terjejas akibat banjir.
Turut kelihatan beberapa kenderaan ditenggelami air, antaranya yang diletakkan di pekarangan Stesen Keretapi Beaufort, dipercayai tidak sempat dialihkan pemiliknya.
Tinjauan turut mendapati anggota bomba menggunakan bot untuk membawa keluar penduduk yang terjejas di kawasan pekan, selain ada penduduk menggunakan bot plastik keluar dari premis.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 4,159 mangsa banjir dipindahkan di empat daerah setakat jam 4 petang ini.
Daripada jumlah itu, Beaufort mencatat jumlah tertinggi dengan seramai 1,339 mangsa, diikuti daerah Tenom seramai 1,162 mangsa, Membakut (880 mangsa) dan Sook (778 mangsa).
Setakat ini, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Beaufort, manakala 13 PPS di Tenom, diikuti dua PPS di Membakut dan tiga PPS di Sook.
Difahamkan, hujan lebat berterusan dengan kadar yang tinggi mencecah 200 milimeter (mm) berbanding kadar biasa kira-kira 50 mm, selain fenomena air pasang tinggi hingga mencapai 2.5 meter punca utama banjir besar di daerah terbabit.
BH ONLINE