
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau akan memberi kerjasama kepada siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkait dirinya.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini, bagi memberi keterangan kepada pihak berkenaan.
“Saya akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa hingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri ke-9 itu tiba di SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau, pada jam 9.46 pagi tadi.
Beliau kemudian meninggalkan bangunan itu pada jam 3.13 petang tadi selepas lebih lima jam memberi keterangan kepada pegawai SPRM.
Harian Metro sebelum ini melaporkan SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyita wang kira-kira RM170 juta membabitkan pelbagai mata wang termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta jongkong emas berjumlah 16 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
BH ONLINE