BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembinaan sesebuah masjid perlu berlandaskan niat serta penghayatan Islam yang betul, bukannya bagi tujuan menunjuk kehebatan dan kemegahan.
Beliau berkata, masjid yang dibangunkan dengan landasan yang baik dan tepat akan menguatkan lagi keimanan serta ketaqwaan umat Islam sekali gus menyatupadukan masyarakat di negara ini.
“Mendirikan masjid tanggungjawab semua… ia menjadi markas kita belajar solat, menunaikan zakat, belajar asas agama. Institusi Islam itu mesti dikaitkan dengan bantuan serta keprihatinan kepada masyarakat.
“Al-Quran ada menyebut, ada masjid diasaskan kerana ketakwaan kepada Allah SWT, nilainya murni, membawa perpaduan dalam masyarakat, memahat keimanan, menjaga masyarakat dan bukan untuk menunjuk kehebatan dan kemegahan.
“…tetapi kalau niatnya (pembinaan masjid) tidak betul, perjalanannya tidak membawa penghayatan Islam serta kefahaman yang baik, maka masjid itu boleh menjadi tempat kerosakan,” katanya pada Majlis
Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah di sini, hari ini.
BH ONLINE – BERNAMA