KUALA LUMPUR – Penjenayah yang terbabit kes penculikan remaja perempuan berusia 16 tahun di Uptown Avenue, Seremban 2, Negeri Sembilan, pada Khamis lalu, dikesan menyembunyikan mangsa dengan memasukkannya dalam sebuah beg pakaian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata tindakan itu dipercayai bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa dan orang awam ketika memindahkan mangsa daripada kenderaan milik suspek ke sebuah rumah di tempat mangsa disorokkan.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati penculikan didalangi seorang suspek wanita berusia 31 tahun yang ditahan bersama lima lagi suspek, semalam.
Katanya, semua suspek ditahan di sekitar Negeri Sembilan semalam iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun, manakala seorang lagi suspek lelaki sedang diburu.
“Dalam kejadian 10 April lalu, mangsa bersama ibunya, pergi ke sebuah salun dan remaja itu keluar salun untuk ke sebuah kedai serbaneka berhampiran.
“Ketika menuju ke kedai serbaneka, mangsa diculik seorang lelaki yang memaksanya masuk ke dalam sebuah kenderaan sebelum kenderaan itu memecut dari lokasi dan menghilangkan diri,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, ketika kejadian culik, ibu mangsa masih berada dalam salun kerana sedang membuat bayaran.
“Ibu mangsa memaklumkan kejadian culik itu kepada bapanya (datuk mangsa) sebelum lelaki itu membuat laporan polis.Tidak lama kemudian, ibu mangsa menerima panggilan daripada suspek yang menuntut wang tebusan RM2 juta bagi menjamin keselamatan anaknya.
“Ekoran laporan polis yang diterima, pasukan JSJ Negeri Sembilan membuka bilik gerakan. Saya turut menggerakkan dua pasukan dari D8 dan D9 Bukit Aman untuk membantu siasatan,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, mangsa dibebaskan sehari selepas penculikan sebaik keluarga membayar wang tebusan RM280,000 bersama beberapa utas rantai emas.
“Suspek terbahagi dua kumpulan iaitu satu kumpulan mengambil wang tebusan dan satu lagi kumpulan melepaskan mangsa sebaik wang tebusan dibayar.
“Siasatan mendapati kumpulan ini juga menggunakan alat pengesan logam untuk memastikan beg wang tebusan tidak mengandungi sebarang alat pengesan.
“Ini bermakna mereka juga mempunyai pengetahuan berkaitan perihal penculikan. Bagaimanapun, kita sedang membuat semakan lanjut sama ada kumpulan ini ada terbabit kes penculikan lain.
“Dalang utama penculikan seorang wanita berusia 31 tahun dan kita percaya suspek mempunyai pertalian antara satu sama lain, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, susulan tangkapan ke atas enam suspek, polis berjaya menemukan semula wang tunai RM180,000 dan beberapa barang kemas.
“Enam suspek terbabit direman 14 hari ini untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat awal mendapati wang RM100,000 sudah dibelanjakan mereka,” katanya.
Ditanya sama ada mangsa daripada golongan berada, Mohd Shuhaily berkata, ibu bapa mangsa adalah pengusaha bengkel kereta dan bakeri, manakala datuknya adalah pengusaha kilang perabot.
Mengulas seorang suspek yang ditembak mati di Klang, semalam, Mohd Shuhaily berkata, polis percaya suspek cuba menjauhkan diri daripada ahli kumpulan lain selepas menerima wang tebusan dibayar.
“Saya percaya dalam jenayah yang dilakukan secara terancang seperti kes ini, adalah perkara biasa bagi mereka yang terbabit untuk menjauhkan diri antara satu sama lain,” katanya.
Selain tangkapan, beliau berkata, polis turut merampas beberapa telefon bimbit, sepucuk pistol daripada suspek yang ditembak mati di Klang, selain beberapa kenderaan yang digunakan dalam kes ini menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
BH ONLINE