GAZA – Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan serangan udara Israel sejak fajar Ahad membunuh sekurang-kurangnya 25 orang di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Israel menyambung semula serangan udara dan darat ke atas Gaza pada 18 Mac, menghidupkan semula pertempuran selepas gencatan senjata selama dua bulan yang telah menghentikan perang selama lebih 15 bulan di wilayah pantai itu.
“Sejak fajar hari ini, serangan udara pendudukan telah membunuh 20 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi, termasuk kanak-kanak dan wanita di seluruh Semenanjung Gaza,” Mahmud Bassal, jurucakap agensi pertahanan awam memberitahu AFP.
Dalam kenyataan berasingan kemudian, agensi itu melaporkan lima orang terbunuh dalam serangan dron Israel ke atas sekumpulan orang awam di timur Rafah.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Sabtu berikrar untuk meneruskan perang dan membawa pulang saki-baki tebusan ditahan di Gaza tanpa tunduk kepada tuntutan Hamas.
“Kami berada di peringkat kritikal kempen, dan pada ketika ini, kami memerlukan kesabaran dan keazaman untuk menang,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan, menolak gesaan daripada militan untuk menamatkan perang dan mengundurkan tentera dari Gaza.
AN-AFP