Ada kesan darah pada bilik air, bilik rumah Zayn Rayyan – Pegawai penyiasat kanan

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu ada kesan darah pada salah sebuah bilik dan bilik air ketika proses mendapatkan tindak balas kesan darah (luminol) dilakukan pasukan forensik di rumah kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, pada 9 Disember 2023.

Pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, berkata beliau bersama pasukan forensik berada di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, dan proses luminol dilakukan di rumah arwah Zayn Rayyan pada jam 9.30 malam.

Sebelum ini, saksi ke-28 pendakwaan itu bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Mohd Hafizee memberitahu perkara berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, pada hari ke-17 perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa arwah, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Raja Zaizul Faridah: Apa proses luminol ini?

Mohd Hafizee: Proses luminol adalah bertujuan untuk mendapatkan tindak balas kesan darah yang berada di sesuatu tempat kejadian.

Raja Zaizul Faridah: Jadi ada ASP (Mohd Hafizee) membuat siasatan berkaitan perkara ini (luminol)?

Mohd Hafizee: Saya telah menghantar semua ‘swabbing’ (calitan) yang diambil daripada pihak forensik… selepas dimaklumkan ada tindak balas darah, saya membuat siasatan untuk mengesahkan mengapa darah itu berada di dalam bilik dan juga bilik air. Hasil siasatan mendapati ada kesan darah di bilik nombor dua di rumah si mati (Zayn Rayyan), selain terdapat kesan darah atau asid deoksiribonukleik (DNA) di dalam bilik air.

Raja Zaizul Faridah: Apa siasatan lanjut yang ASP buat?

Mohd Hafizee: Saya ada merakam percakapan tertuduh. Hasil keterangan, tertuduh menyatakan si mati pernah berdarah di bahagian hidung dan kebiasaannya si mati akan mencalit kesan hingus atau hidung berdarah di kawasan dinding dalam bilik atau dalam rumah. Selain itu tertuduh, Ismanira ada juga menyatakan si mati pernah berdarah disebabkan terkena pisau cukur di dalam bilik air, namun (hasil ujian) DNA atau darah yang ditemui di dalam bilik air itu adalah milik tertuduh, Zaim Ikhwan, sebagaimana dalam laporan kimia.

Bagaimanapun, saksi berkenaan tidak menjelaskan kepada mahkamah mengenai pemilik darah yang dikesan di salah sebuah bilik rumah itu.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka, di Mahkamah Sesyen di sini.

Zaim Ikhwan dan Ismanira masing-masing berumur 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara jam 12 tengah hari 5 Disember hingga jam 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemui di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelum itu.

Perbicaraan di hadapan Syahliza bersambung esok.

BH ONLINE


Facebook Posts