Houthi Yaman dakwa serangan baru ke atas Israel, kapal pengangkut pesawat AS

SANAA – Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Isnin, ia melancarkan serangan baru ke atas dua sasaran Israel dan dua kapal pengangkut pesawat AS, menggunakan dron dan peluru berpandu jelajah.

“Kami melancarkan serangan dron ke sasaran penting di bandar Ashkelon dan satu lagi serangan dron ke sasaran tentera di bandar Eilat,” kata jurucakap tentera Houthi Yahya Sarea dalam kenyataan disiarkan TV al-Masirah kendalian Houthi.

Dia tidak mengenal pasti nama sasaran di kedua-dua bandar di selatan Israel.

“Sebagai sebahagian daripada menghadapi pencerobohan Amerika… kami menyasarkan kapal pengangkut pesawat Truman dan kapal perang pengiringnya di utara Laut Merah, menggunakan dua peluru berpandu jelajah dan dua dron,” kata Sarea, merujuk kepada USS S Harry Truman.

“Kami juga menyasarkan kapal pengangkut pesawat Vinson (USS Carl Vinson) dan kapal perang pengiringnya di Laut Arab, menggunakan tiga peluru berpandu jelajah dan empat dron,” katanya.

Sarea menegaskan serangan kumpulan itu “akan berterusan” terhadap Israel dan tentera laut AS di rantau ini.

Menurut televisyen Houthi, serangan terhadap Israel dan kapal perang AS dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Pasukan pertahanan Israel masih belum mengulas mengenai dakwaan Houthi, begitu juga tentera AS.

Sementara itu, serangan udara AS di Yaman berterusan. Pada awal hari, televisyen Houthi berkata angka kematian akibat serangan udara AS pada malam Ahad terhadap pasar popular di kejiranan Shu’ub di tengah ibu kota Yaman, Sanaa meningkat kepada 12, dengan 30 “orang awam” lain cedera.

Juga pada malam Ahad, televisyen Houthi melaporkan serangan udara AS yang lain di beberapa lokasi Houthi di wilayah utara Al-Mahwit, Saada, dan Marib.

Ketegangan antara kumpulan Houthi dan tentera AS semakin memuncak sejak Washington meneruskan serangan udara ke atas sasaran Houthi di Yaman pada 15 Mac untuk menghalang kumpulan itu daripada menyasarkan kapal perang Israel dan AS.

XINHUA


Facebook Posts