Islam sebagai nikmat, ketaatan sebagai kesibukan dan kematian adalah pengajaran

Sayidina Ali dipetik sebagai berkata: “Sesungguhnya antara nikmat dunia, cukuplah bagimu Islam sebagai suatu nikmat, antara kesibukan cukuplah bagimu ketaatan sebagai suatu kesibukan dan antara pengajaran cukuplah bagimu kematian sebagai suatu pengajaran.”

Terdapat tiga perkara dapat diperhatikan pada ungkapan itu; pertama ialah Islam sebagai suatu nikmat; kedua, ketaatan sebagai suatu kesibukan; dan ketiga ialah kematian sebagai suatu pengajaran.

Sepintas lalu kita perkatakan mengenai Islam. Anda muslim, barangkali tidak berbangkit soal nikmat atau tidak dengannya. Cuma kadang-kadang anda berasa luntur semangat, kerana cubaan yang hebat…itu biasa…dalam kehidupan ini, ada turun dan ada yang naik. Ada hari, ada masa, kita berasa cukup kuat, ada waktu, dan ketika, kita berasa sangatlah lemah, malas, nak duduk dan nak baring saja. Biasa…tetapi jauh di lubuk hati, atau terbenam di jiwa, Islam tetap digenggam, Islam tetap dijaga, Islam tetap dijunjung, sebab Islam itu nikmat….yang menjadi diri terbeban, diri terseksa, berasa sesak, berasa terhimpit, berasa tertekan (mengalir air mata) adalah kerana kita, sikap kita (cuba lihat pada diri sendiri), atau jika bukan kita (mungkin kita berasa sudah cukup elok, tak buat salah), disebabkan orang sekeliling kita, mereka yang mempunyai kekuatan fizikal dan kuasa, yang menguasai diri kita, mengikut sistem mereka, mengikut cakap atau kata-kata mereka.

Dan bagi orang bukan Islam sesetengahnya berasa tertekan, terbeban dengan Islam…ini tak boleh,,,itu tak boleh. Mereka menganggap Islam suatu bala, bukan nikmat…bala yang mesti dinyahkan, dengan apa cara sekali pun — bagi mereka. Ya, terutama mereka yang tidak faham, yang menanggapi Islam satu lapis, mengikut rentak khalayak, sama ada pada perkataan, sikap dan penghakiman. Bukan mudah untuk memahamkan mereka, dan mereka juga bukan mudah untuk menghadamkan ajaran indah Islam yang berupa suatu nikmat. Oleh kerana salah faham, maka mereka menanggapi Islam sebagai suatu kekangan. Itu satu. Ada juga golongan bukan Islam yang sudah faham mengenai Islam…oh Arabnya cair lebih daripada penutur Arab asli, tetapi kerana mereka diciptakan untuk tidak menerima Islam, maka mereka melakukan apa saja usaha dari generasi ke generasi untuk membelakangkan Islam, atau setidak-tidaknya usaha mereka membuatkan Islam menjadi kaku, tidak berkembang, makin luntur, makin ketinggalan, tidak mesra dengan kehidupan…maknanya tidak menguntungkan kehidupan manusia…itu kerja mereka…maka khalayak menuruti. Hari ini sebagai contoh, berapa ramai yang mendengar kuliah agama, membaca artikel keagamaan, berbanding bermain game, mendengar muzik, menonton video hiburan, berapa ramai? Maka, Islam sebagai suatu nikmat, diubah, dicanang mereka sehingga menjadi bukan nikmat lagi…anda perasan?

Kedua, ketaatan sebagai suatu kesibukan. Ada orang sibuk dengan kejahatan, seperti menipu orang lain sama ada secara langsung dalam percakapan atau interaksi, ataupun dalam talian, di media sosial. Motifnya untuk membuat keuntungan, terutamanya. Mereka tidak kisah salah atau cela, asalkan diri mereka lega. Orang Islam seharusnya menyibukkan diri dengan ketaatan, bukan kejahatan. Berperangai baik, rajin dan suka menolong, bersikap jujur, toleransi, tidak berkira, itu semua daripada bahagian ketaatan, yang harus disematkan pada diri dan dijadikan contoh bagi orang lain.

Kemudian, kematian, berapa ramai manusia yang mengambil pengajaran dengan kematian, sedangkan setiap hari bahkan setiap detik ada yang menemuinya, apatah lagi ketika wabak maut melanda atau perang menerkam jiwa?

Firman Allah pada surah Ali Imran, ayat 185 bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…”

Ayat 26, surah ar-Rahman bermaksud: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.”

Banyak harta atau miskin, mulia atau hina, berjawatan tinggi ataupun sudah hilang pekerjaan, cantik bergaya ataupun tidak, tinggal di villa mewah lengkap dengan peralatan canggih atau di pondok usang terpencil daripada arus kemodenan, semua akan bertemu dengan mati.

Lari atau carilah tempat berlindung di mana-mana pun, ke puncak gunung, jauh ke angkasa raya atau bersembunyi di bilik kebal yang bermeter-meter ketebalannya lagi rahsia daripada pengetahuan umum, tidak keluar, maut tetap mengekori kamu.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumuah, ayat 8)

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” (Surah an-Nisa, ayat 78)

Justeru apa yang harus dilakukan?

Kata Abu Laits: Sesiapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan jahat sebab dia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya.

Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bersabda (mafhumnya): Ada tiga hal yang mengikuti seseorang ketika meninggal dunia iaitu keluarganya, hartanya dan amalannya. Maka, kembali dua hal dan tinggal satu. Keluarga dan hartanya kembali dan yang tinggal adalah amalannya. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Kata Sayidina Abu Bakar as-Siddiq RA sebagaimana dipetik: Sesiapa masuk ke kubur tanpa membawa bekalan, maka seolah-olah dia mengharungi lautan tanpa bahtera.”

Justeru kamu dinasihatkan agar segera buat kebaikan, rajin melakukan ketaatan, jauhi kejahatan dan elak sebarang bentuk (walaupun kecil atau sedikit) penganiayaan kepada sesama manusia.