Pekerja ladang dikhuatiri maut, disambar buaya ketika pasang pukat

KUNAK — Seorang pekerja ladang dikhuatiri maut selepas disambar buaya ketika sedang memasang pukat di sungai berhampiran Ladang KLK Jatika, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.18 pagi sebelum sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal daripada saksi, mangsa dikenali sebagai Ridwan Nawir, 50, sedang memasang pukat secara melintang dari tebing sungai sebelum secara tiba-tiba disambar reptilia itu.

“Pemantauan awal di lokasi mendapati jasad mangsa dilihat masih di dalam mulut reptilia itu yang muncul di permukaan air sebelum tenggelam menghilangkan diri ke dalam sungai berkenaan.

“Setakat ini, mangsa belum ditemui dan operasi SAR akan disambung semula esok,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi, selain anggota polis operasi SAR turut membabitkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan penduduk setempat yang ketika ini sedang giat memburu reptilia itu.

BH ONLINE