Lelaki jatuh jambatan ditemui lemas

KUCHING — Lelaki yang hilang selepas terjatuh dari Jambatan Tan Sri Dr Sulaiman Daud, di sini, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Aliff Fadzree Azlam, 34, ditemui terapung oleh orang awam kira-kira 50 meter dari lokasi dia terjatuh pada jam 3.50 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya kemudian mengambil mayat mangsa menggunakan bot penyelamat.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis pada jam 4 petang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mangsa disedari terjatuh dari jambatan berkenaan oleh isterinya kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarah ke lokasi untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan pada jam 8.52 pagi.

Operasi pencarian turut disertai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Batu Lintang, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Unit Dron polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

BH ONLINE