Lelaki dihanyut arus banjir ditemui lemas

DUNGUN — Lelaki yang dikhuatiri lemas ketika menyeberang jalan di FELDA Kerteh Tiga, dekat sini, ditemui lemas, petang tadi.

Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) Terengganu (Zon 2) Mohd Zailani Abdullah berkata mayat Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, ditemukan pada 2.15 petang kira-kira 10 meter dari lokasi motosikalnya dijumpai sebelum ini.

“Pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelah tengah hari tadi kita menggunakan teknik olakan arus iaitu membuat pusingan bot untuk mengapungkan mangsa. Hasilnya, mangsa timbul bersebelahan pasukan penyelamat.

“Kita menguruskan mangsa lebih kurang 20 minit untuk membawanya ke darat dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Zailani berkata, pasukan penyelamat yang memulakan operasi pagi tadi menemui motosikal yang ditunggang mangsa.

“Berdasarkan penemuan motosikal mangsa, pasukan penyelamat kemudiannya menumpu pencarian seluas 200 meter dari kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut

Terdahulu, beliau berkata, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas motosikal yang ditunggangnya dihanyutkan arus ketika cuba menyeberang laluan utama yang dinaiki air di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Kerteh 3, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, mangsa dikatakan menunggang sebuah motosikal dan menyeberangi jalan utama di situ dengan mengekori sebuah lori yang dipandu rakannya.

Ketika menyeberangi jalan utama di situ, secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa dihanyutkan arus banjir.

Beliau berkata, dua rakan mangsa yang menaiki sebuah lori berjaya menyeberang jalan terbabit dan sebaik menyedari kejadian itu, kedua-dua rakan mangsa cuba menyelamat mangsa.

“Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba membantu, namun mangsa tidak lagi kelihatan dan dipercayai dihanyutkan arus.

“Pihak polis menerima laporan berhubung dengan kejadian itu, kira-kira jam 10 malam tadi,” katanya.

BH ONLINE