‘Abdullah beri contoh terbaik kepada kita, letak jawatan PM secara terhormat tanpa bantahan’ – Tun M

Dr Mahathir bersama Siti Hasmah memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Abdullah di ruang solat utama Masjid Negara hari ini. BH ONLINE – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, hari ini.

Dr Mahathir tiba di Masjid Negara kira-kira jam 11 pagi, ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta anak mereka, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau meluangkan masa kira-kira 10 minit di masjid berkenaan.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengenang kembali hubungan lamanya dengan Allahyarham yang mesra disapa sebagai Pak Lah.

“Saya kenal beliau sejak sebelum saya menjadi Perdana Menteri. Kali pertama saya bertemu Allahyarham adalah di sebuah pasar raya pada 1968. Kami sudah lama saling mengenali.

“Ketika saya memilih untuk bersara, beliau adalah timbalan saya, maka beliaulah yang menggantikan saya. Memang benar, apabila saya melepaskan jawatan, Abdullah mengambil alih sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dr Mahathir turut memuji kepimpinan Allahyarham Abdullah, terutama kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11) pada 2004.

“Di bawah kepimpinan beliau, gabungan pemerintah mencapai kemenangan paling besar dalam sejarah negara, memenangi 90 peratus kerusi. Ia pencapaian luar biasa,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir turut mengakui cabaran dihadapi Allahyarham Abdullah selepas itu, termasuk tekanan politik susulan keputusan PRU 2008.

“PRU 2008 tidak begitu berjaya. Dengan tekanan yang semakin meningkat supaya beliau meletakkan jawatan, beliau berundur tanpa sebarang bantahan dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Beginilah cara kita di Malaysia. Bila kita bersara, kita undur secara terhormat dan menyerahkan tanggungjawab kepada pengganti kita. Jika tradisi ini diteruskan, insya-Allah Malaysia akan terus menjadi negara yang diberkati.

“Allahyarham Abdullah memberikan contoh terbaik kepada kita semua,” katanya.

Dr Mahathir turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan saya percaya mereka bersabar kerana ini naluri manusia, akhirnya kita akan meninggal dunia,” katanya.

BH ONLINE – BERNAMA


Facebook Posts