TUMPAT — Dua kematian akibat lemas di daerah Machang, dekat sini, hari ini menjadikan korban banjir seramai lima orang di Kelantan setakat ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua mangsa adalah lelaki warga emas berusia 72 dan 78 tahun.
Katanya, ketika kejadiankedua-duanya dikatakan sedang melihat ternakan mereka di dua lokasi berasingan iaitu Kampung Kuala Sat dan Gelung Gajah.
“Kejadian pertama membabitkan mangsa berusia 72 tahun di Kampung Kuala Sat yang dikatakan melihat ternakan lembunya di parit sebelum ditemui lemas oleh ahli keluarga jam 8 pagi tadi.
“Kes kedua pula membabitkan mangsa berusia 78 tahun di Kampung Gelang Gajah ketika melihat kambingnya yang ditempatkan di rakit yang dijadikan tempat perlindungan ternakan itu.
“Mangsa lemas ketika memantau haiwan peliharaan itu di rumah rakit bersebelahan rumahnya dengan menaiki perahu,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata pihak berkuasa sudah menasihatkankeluarga kedua-dua mangsa agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) awal namun enggan dipatuhi.
Katanya, mereka enggan berpindah kerana sayang untuk meninggalkan ternakan selain sanggup berulang-aling menaiki perahu untuk ke lokasi haiwan itu ditempatkan.
“Kita menasihatkan agar orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
BH ONLINE