KUCHING – Bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 468 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 36 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berjumlah lebih RM16 juta.
Hakim, Musli Ab Hamid, turut memerintahkan tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38, didenda RM180 juta yang jika gagal bayar dikenakan penjara 36 bulan dan tiga sebatan.
Bagi setiap 36 pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan, dihukum penjara 12 tahun dan denda RM5 juta jika gagal membayarnya dipenjara sebulan bagi setiap kesalahan.
Bagi setiap tiga pertuduhan CBT pula, dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan.
Hakim turut memerintahkan hukuman penjara yang dijatuhkan itu berjalan serentak.
Berikutan itu, hukuman penjara yang berjalan serentak itu, Mohd Zairull hanya perlu menghabiskan 12 tahun penjara, bergantung sama ada dia mampu membayar denda RM180 juta yang jika gagal perlu menambah tiga tahun lagi di penjara.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Zairull melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara tahun 2020 dan 2022, membabitkan sejumlah RM6,013,504.30, manakala kesalahan CBT sebanyak RM10,272,350.13 dilakukan antara 2019 dan 2021.
Difahamkan, perbuatan itu terdedah apabila penyata gaji Mohd Zairull menunjukkan transaksi yang mencurigakan, dengan lebih RM4 juta dikreditkan ke dalam akaunnya.
Dia adalah pegawai bertanggungjawab bagi simulasi gaji jabatan itu di Sarawak menyerahkan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 31 Januari 2022.
Bagaimanapun, beliau memendekkan tempoh notisnya dan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 31 Disember 2021.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul dan Manjira Vasudevan manakala peguam Christopher Bada mewakili tertuduh.
BH ONLINE