Berjaya genggam PhD selepas 10 tahun berusaha

Berjaya genggam PhD selepas 10 tahun berusaha
Rohani bersama anak dan cucunya selepas memperoleh segulung ijazah doktor falsafah ketika menghadiri Konvensyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-22.

KUALA NERUS — Walaupun sudah menjangkau usia emas namun seorang wanita kelahiran Paris, Perancis, berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Christine Longuet atau nama Islamnya Rohani Abdullah, 80, dari Kampung Pulau Duyung, Kuala Terengganu, berkata, dia mengambil masa 10 tahun untuk menyiapkan kertas kajian (tesis) di peringkat PhD dan usahanya itu membuahkan hasil apabila hari ini dia dianugerahkan segulung ijazah di peringkat PhD.

Katanya, kekangan waktu untuk menyiapkan kertas kajian mengakibatkan begitu banyak masa diambil namun dia bersyukur kerana akhirnya dia berjaya menerima ijazah doktor falsafah.

“Ketika di sana (Paris) saya sudah menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Sorbonne, Paris, dalam jurusan sejarah sebelum berhijrah ke Terengganu.

“Ketika di Malaysia, saya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

“Manakala di sini UMT, saya melanjutkan pengajian dalam jurusan etnobotani,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-22 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur walaupun mengambil masa lama untuk menyiapkan kertas kajiannya itu namun akhirnya dia berjaya menyiapkan tesis bertajuk ‘Places, Plants and People In The State Of Terengganu Malaysia: An Assessment From Two Eras’.

Katanya, dia turut mengarang buku antara buku yang ditulisnya ialah Puisi Duyung Pulau Rakyat, koleksi puisi tempatan dan Amanah: Journey An Architect iaitu buku mengenai hasil arkitek tempatan, Nik Mohamed Mahmood.

Katanya, Kampung Pulau Duyung, tempat dia menetap satu ketika dahulu amat terkenal dalam dunia pembuatan bot dan kapal layar hingga ramai individu dari benua eropah yang datang untuk menempah kapal layar yang dibuat oleh tukang-tukang tempatan yang berkemahiran tinggi.

Rohani berkata, dia sudah menetap di Terengganu selama 53 tahun membuatkan dirinya sudah sebati dengan persekitaran serta kehidupan masyarakat setempat.

“Ketika mula-mula datang ke kampung itu saya belajar bertutur Bahasa Melayu, dengan tukang-tukang yang membuatkan bot dan perahu layar di tebing Sungai Terengganu.

“Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk menguasai bahasa Melayu dan pada tahun 1977 ketika berusia 34 tahun saya berkahwin dengan suami yang juga merupakan anak seorang iman di Kampung Pulau Duyung.

“Budaya masyarakat Melayu amat menarik dengan kehalusan bahasa, seni bina, kehidupan bermasyarakat yang utuh membuatkan saya tertarik untuk terus menerap di negeri ini,” katanya antara 89 pelajar yang menerima ijazah doktor falsafah.

Menceritakan kisah hidupnya dia berkata, keluarganya satu masa dulu pernah memiliki kapal layar bernama Ganti Rampai, dan pernah membuat pelayaran dengan membawa anak-anaknya belayar di Laut China Selatan (LCS).

Menurutnya, kapal layar milik arwah suami masih ada dan kini ditempatkan di bengkel bagi kerja baik pulih.

Katanya, kapal layar dengan reka bentuk pinis gobel itu merupakan satu kenangan buat kami sekeluarga.

“Itu kisah dulu namun dalam usia emas saya berusaha menyiapkan tesis di peringkat PhD dan berjaya menggapainya selain banyak perubahan sudah saya lihat dari era 70-an hingga kini yang berlaku di kampung ini.

“Dahulu suasananya lain kini ia sudah lain ada juga tradisi yang kian ditelan zaman dan apa yang dapat dilihat iaitu industri pembuatan kapal layar dan bot juga semakin suram,” katanya.

BH ONLINE