Category: BERITA

ad

  • Mufti Perlis saman pengguna Facebook berhubung isu GISBH

    KUALA LUMPUR — Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, memfailkan saman terhadap seorang pengguna laman sosial, Facebook kerana mendakwa lelaki itu memfitnahnya berhubung isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

    Saman fitnah itu difailkan Mohd Asri selaku plaintif pada 10 Oktober lalu dengan menamakan Mohd Nawawi Abd Razak sebagai defendan, dan menuntutnya membayar ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM10 juta serta menerbitkan pernyataan maaf di dalam akhbar tempatan.

    Melalui pernyataan tuntutan beliau, Mohd Asri berkata pada 20 September lalu, Mohd Nawawi menerbitkan beberapa pernyataan fitnah melalui akaun Facebook milik defendan yang dibuat secara komen di bawah satu hantaran Facebook oleh akaun Facebook dikenali sebagai Kayrollz Nasri.

    Komen berkenaan adalah berhubung isu fatwa kesesatan GISBH oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

    Mohd Asri berkata, pernyataan fitnah itu merujuk dengan jelas kepadanya dan berkaitan dirinya yang bermaksud serta difahami bahawa beliau antaranya mempunyai hubungan akrab dengan GISBH dan menerima ganjaran wang daripada organisasi itu.

    Mohd Asri berkata, pernyataan itu juga bermaksud beliau pernah mempunyai hubungan rapat dengan GISBH, seorang pengkhianat dan fatwa negeri Perlis berkaitan isu GISBH dibuat atas motif peribadi dan dendam peribadinya.

    Plaintif berkata, defendan selanjutnya menerbitkan, menyiarkan, mendedahkan danmengedarkan pernyataan fitnah kedua terhadapnya di dalam bentuk komen di bawah hantaran sama.

    “Defendan menerbitkan pernyataan fitnah itu meskipun mempunyai pengetahuan bahawa ia adalah dusta, palsu, tidak berasas, tidak benar sama sekali dan ia dakwaan melulu tanpa mengambil kira kebenarannya dan tanpa usul periksa.

    “Ia diterbitkan dengan niat untuk menghina, merendahkan, memalukan dan mendedahkan saya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan yang membuat orang ramai menjauhi saya.

    “Defendan menerbitkan pernyataan fitnah itu dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif oleh masyarakat umum ke atas saya.

    Defendan dengan sengaja merujuk secara khusus kepada saya dengan menggunakan nama dan gambar saya,” katanya.

    Mohd Asri berkata, tindakan defendan mengaitkan dirinya secara khusus kepada GISBH yang mana diketahui umum mempunyai kepercayaan dan ajaran yang mengandungi unsur sesat khususnya batiniyyah dan tidak selari dengan Islam, adalah disengajakan.

    Katanya, ia adalah untuk memberi gambaran dan pandangan kepada orang awam bahawa beliau menyokong dan terbabit dengan aktiviti dan pemahaman yang yang mengandungi unsur sesat.

    Mohd Asri juga menuntut defendan membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di beberapa akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia, akaun Facebook defendan sendiri dan mana-mana laman sosial yang dimiliki lelaki itu, selama 30 hari.

    Turut dimohon ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan dan mana-mana ejennya daripada mengulangi pernyataan berbaur fitnah itu serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    BH ONLINE

  • Kertas siasatan anggota polis ‘curi’ barang kemas si mati diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara

    KUALA LUMPUR — Kertas siasatan berkaitan empat anggota polis yang ditahan berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu, telah diserahkan ke Pejabat Peguam Negara, kelmarin.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

    “Kertas siasatan itu sebelum ini telah diserahkan kepada Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

    “Kesemua empat anggota polis yang ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu telah dibebaskan jaminan polis.

    “Pada masa ini mereka masih menjalankan tugas sementara siasatan masih berlangsung,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Progam Pendekatan Kesedaran Kes Jenayah Seksual dan Penipuan Dalam Talian di sini, hari ini.

    Rusdi berkata, pada masa ini pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di mahkamah.

    “Status mereka masih bertugas dan kita menunggu tindakan lanjut,” katanya.

    Pada Jumaat lalu, media melaporkan empat anggota polis ditahan untuk siasatan kes kecurian barang kemas dikatakan milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak, di sini.

    Rusdi dilaporkan berkata, tangkapan anggota polis terbabit dibuat hasil siasatan yang dijalankan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan.

    Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

    Tangkapan dilakukan terhadap anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun.

    Katanya, pihak polis juga membuat rampasan membabitkan sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram.

    Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.

    Beliau mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, dia cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.

    Katanya, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan itu.

    Pencarian di seluruh rumah sewa mangsa juga tidak menemui barang kemas, menyebabkan bapanya merujuk perkara itu kepada bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci.

    Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE

  • Pegawai SPRM didakwa salah guna wang sitaan RM613,000

    KUALA LUMPUR — Seorang Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.

    Tertuduh, Azizun Mohamad didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan berjumlah RM613,000, berkaitan dengan Op Green iaitu operasi agensi itu yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.

    Kesalahan berkenaan didakwa berlaku antara 1 Jun 2020 hingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, sebatan dan boleh juga didenda.

    SPRM dalam satu kenyataan, berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab diberikan kepada suruhanjaya itu terus terpelihara.

    “Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.

    “SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” katanya.

    BH ONLINE

  • Ahli perniagaan produk kecantikan didenda miliki bahan lucah

    KLANG — Seorang ahli perniagaan produk kecantikan didenda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengakses dan menyimpan bahan lucah.

    Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Chai Kien Tung, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Kien Tung juga berdepan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dikenakan dan tertuduh membayarnya.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, lelaki berkenaan didakwa mengakses dan menyimpan dalam milikannya bahan lucah seperti video atau gambar dalam dua telefon bimbit.

    Kesalahan itu dilakukan di bilik kawalan sebuah kondominium di Kota Bayuemas kira-kira jam 12.10 tengah malam semalam dan sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

    Mengikut fakta kes, mangsa ternampak sebuah telefon bimbit dari atas sebuah bilik tandas menghala ke arah mangsa ketika sedang mandi.

    Pengadu keluar dari tandas dan berjumpa pengurusan kondominium itu bagi memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan didapati tertuduh lari keluar dari tandas berkenaan.

    Mangsa juga mengesyaki tertuduh mengambil videonya ketika mandi sebelum membuat laporan polis.

    Peguam Nur Husnina Ahmad menyatakan anak guamnya masih bujang dan bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu serta menanggung ibu bapa serta nenek yang sakit.

    Katanya, tertuduh juga berulang alik ke Sarawak atas urusan kerja dan memohon maaf serta insaf tidak akan mengulanginya.

    Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi.

    BH ONLINE

  • Pengerusi masjid direman enam hari

    CHUKAI — Seorang pengerusi masjid di sebuah daerah di negeri ini direman selama enam hari selepas disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak bagi agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.

    Suspek berusia 50an itu dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini untuk perintah tahanan reman terbabit.

    Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan reman ke atas lelaki terbabit yang selama enam hari sehingga 10 november ini.

    Sumber berkata, suspek telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman, kira-kira jam 2.45 petang semalam.

    “Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada April lalu dan seramai 50 penerima yang tersenarai telah menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.

    “Suspek telah menerima dana zakat tersebut daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini di mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ,” kata sumber terbabit.

    Katanya, suspek telah ditangkap bersama isterinya yang turut tersenarai antara penerima wang zakat berkenaan dan bagaimanapun isterinya itu dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

    Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan pihaknya tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

    BH ONLINE

  • Polis rampas dadah RM2.3 juta, tahan dua wanita Indonesia, tiga lelaki tempatan

    MELAKA — Polis menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia selepas menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.3 juta dalam serbuan di dua lokasi sekitar sini Jumaat lalu.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,400 dipercayai hasil jualan dadah, dan menyita dua kenderaan dalam serbuan jam 3 pagi di sebuah kondominium di Melaka Raya, dan sebuah bangunan di Jalan Merdeka di sini.

    Semua suspek berusia 21 hingga 37 tahun itu dipercayai aktif dalam sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Melaka sejak awal tahun ini.

    “Dalam serbuan itu polis merampas 12,920 gram serbuk dipercayai ekstasi, ketamin (300 gram), pil ekstasi (1,307 biji) dan pil erimin 5 (280 biji), dan berdasarkan siasatan awal, semua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan, boleh digunakan 68,240 penagih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Ujian air kencing suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis ketamin dan benzo, namun semua mereka tiada rekod jenayah lampau.

    Zainol berkata semua suspek direman sehingga 7 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    BH ONLINE

  • Indonesia akan pindah 16,000 orang selepas letusan Gunung Lewotobi Laki-laki

    JAKARTA — Kerajaan Indonesia menyasarkan untuk memindahkan sekurang-kurangnya 16,000 penduduk dari kampung sekitar gunung berapi aktif Gunung Lewotobi Laki-laki yang meletus dan membunuh sembilan orang serta merosakkan ribuan rumah, kata seorang pegawai pada Selasa.

    Gunung Lewotobi Laki-laki, yang terletak di Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur, meletus pada malam Ahad, diikuti letusan yang lebih kecil pada malam Isnin, dan kekal pada status amaran gunung berapi tertinggi di Indonesia.

    Pemindahan terhalang oleh abu gunung berapi tebal di beberapa jalan, kata seorang pegawai.

    Sehingga pagi Selasa, kira-kira 2,472 daripada 16,086 penduduk dari lapan kampung telah dipindahkan, Heronimus Lamawuran, jurucakap kerajaan wilayah Flores Timur memberitahu Reuters.

    “Kami bercadang untuk memindahkan sementara penduduk sehingga selamat untuk mereka pulang ke kampung,” katanya.

    Penduduk dibawa ke tiga bangunan sekolah dan tempat perlindungan sementara di kampung lain sekitar 20 km (12 batu) dari kawah, tambah Heronimus.

    “Kami mengerahkan lebih banyak trak bersama anggota tentera dan polis untuk membantu pemindahan pada Selasa,” katanya.

    Pihak berkuasa telah menyemak semula jumlah kematian kepada sembilan daripada 10, dengan 63 cedera dan kira-kira 2,384 rumah dan sekurang-kurangnya 25 sekolah rosak.

    Kerajaan tempatan telah mengisytiharkan darurat untuk 58 hari akan datang, bermakna kerajaan pusat boleh membantu memberi bantuan kepada penduduk.
    Empat lapangan terbang kecil di Pulau Flores telah ditutup akibat letusan itu.

    Indonesia melintasi apa yang dipanggil “Lingkaran Api Pasifik,” kawasan aktiviti seismik tinggi di mana beberapa plat tektonik bertemu.

    REUTERS

  • Letupan besar kedengaran dekat rumah Netanyahu: media Zionis

    TEHRAN — Media Zionis melaporkan satu letupan besar kedengaran dekat kediaman Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di bandar Caesarea atau Qaysaria, dekat Tel Aviv.

    Agensi berita Palestin Samaa memetik sumber-sumber melaporkan bunyi letupan itu kedengaran pada lewat malam pada Isnin.

    Sumber Zionis telah mengumumkan bahawa isu itu sedang dalam siasatan dan punca letupan masih belum dapat ditentukan.

    Letupan itu menyusuli pengesahan media Zionis bahawa kira-kira 90 roket dilepaskan dari Lubnan ke arah wilayah Palestin yang diduduki sejak pagi Isnin, menyasarkan penempatan dan kemudahan tentera Israel.

    Bulan lalu, Hizbullah telah menyerang rumah persendirian Netanyahu di bahagian utara wilayah yang diduduki.

    Pada 19 Oktober, media Zionis melaporkan serangan dron ke atas kediaman Netanyahu, mengatakan UAV itu tepat mengenai bilik tidur perdana menteri.

    Netanyahu dan isterinya tiada di rumah pada masa itu, dan tiada sesiapa yang cedera dalam serangan itu, media kemudian melaporkan.

    Ketua pejabat media Hizbullah, Mohammad Afif, berkata pada sidang akhbar pada 22 Oktober bahawa satu daripada tiga dron yang dilancarkan dari Lubnan mengenai kediaman percutian Netanyahu.

    IRNA

  • Kereta langgar pembahagi tol, 2 warga emas maut

    SERDANG — Dua lelaki warga emas maut apabila kereta dinaiki mereka melanggar pembahagi di Plaza Tol Sungai Besi, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Seremban, di sini, awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 3.42 pagi.

    Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi.

    “Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda CRV di mana dua lelaki berusia 65 tahun tersepit di bahagian hadapan.

    “Kerja-kerja mengeluarkan mangsa berjaya dilakukan anggota bomba, dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    BH ONLINE

  • Rakyat Malaysia sertai perang Ukraine-Russia dipercayai masih hidup – KPN

    Rakyat Malaysia sertai perang Ukraine-Russia dipercayai masih hidup – KPN
    Gambar yang belum disahkan mengenai pejuang Ukraine yang dimuat naik di platform X menerusi akaun Malaysia Military Review dengan Lee Bing Hang didakwa di sebelah kanan.

    KUALA LUMPUR — Seorang lelaki tempatan yang didakwa menyertai perang antara Ukraine dan Russia, dipercayai masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.

    Berdasarkan maklumat perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki terbabit, Lee Bing Hang, 20, dan berasal dari Kedah sebelum ini mengalami kecederaan selepas terkena serpihan dron tentera Russia, pada pertengahan Oktober lalu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata risikan yang dijalankan juga mendapati Bing Hang memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang dengan tentera Russia.

    “Berdasarkan risikan kita mendapati Bing Hang menyertai peperangan di Ukraine kerana minatnya dalam ketenteraan dan tawaran gaji menarik antara AS$400 hingga AS$2,700 (RM11,807) sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang.

    “Selain itu tekanan daripada pihak keluarga turut dipercayai adalah faktor penyebab Bing Hang sanggup menjauhkan diri daripada keluarganya sehingga mencari pekerjaan di luar negara,” katanya kepada BH hari ini.

    Razarudin berkata, semasa serangan dron Russia, lelaki itu dilaporkan cuba lari menyelamatkan diri namun kad pengenalan dan lesen memandunya tercicir manakala pasportnya masih berada bersama dengannya.

    “Bing Hang menamatkan pengajiannya di peringkat A Level di sebuah kolej di Petaling Jaya, dikesan tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak berminat dengan aktiviti sosial.

    “Sebaliknya dia lebih memberi tumpuan kepada aktiviti permainan dalam talian berbentuk peperangan dan amat berminat menjadi tentera,” katanya.

    Jumaat lalu, media tempatan melaporkan bahawa polis masih menunggu maklum balas pihak Kedutaan Rusia mengenai dakwaan seorang rakyat Malaysia yang menjadi tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Russia.

    Terdahulu tular penemuan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.

    Ada dakwaan di media sosial menyatakan kad berkenaan adalah milik rakyat Malaysia yang tidak dapat dipastikan statusnya sama ada terbunuh atau ditahan tentera Russia.

    Dua dokumen diri yang masih sah itu ditemui selepas tentera Russia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.

    BH ONLINE

  • Hizbullah dedah kemudahan peluru berpandu bawah tanah baharu

    TEHRAN — Gerakan Penentangan Hizbullah Lubnan mengeluarkan rakaman mendedahkan kemudahan peluru berpandu baharu “Imad 5”, berikrar untuk kekal teguh di medan perang sehingga kemenangan.

    Menurut IRNA memetik media penentangan, Hizbullah menerbitkan video yang menunjukkan bahagian kemudahan peluru berpandu bawah tanah Imad 5.

    Pergerakan penentangan mendedahkan kemudahan peluru berpandu baharunya dengan kata-kata Ketua Syahid Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah: “Kami tidak akan pernah meninggalkan medan perang… Kami tidak akan sekali-kali meletakkan senjata kami.”

    Rakaman itu memaparkan pejuang Hizbullah menunggang basikal melalui kawasan hutan, diikuti dengan adegan pejuang kebebasan berjalan melalui terowong menuju ke kemudahan bawah tanah.

    Sepanjang perjalanan, para pejuang melewati papan tanda yang menandakan kemudahan Imad 5 dan kemudian dengan gambar memperingati pemimpin yang syahid yang ditanda dengan perkataan: “Kami bersumpah dengan darahmu.”

    Terowong ini dilengkapi dengan baik untuk pergerakan dan menempatkan pad pelancar peluru berpandu.

    Sementara itu, Hizbullah mengumumkan dalam satu kenyataan mengenai pangkalan tentera Eliakim Israel, di selatan Haifa dengan skuadron dron.

    Pangkalan ini termasuk satu set berek latihan dan sub-set perintah wilayah utara tentera Zionis.

    Terdahulu, Hizbullah turut menyasarkan sekumpulan tentera Israel di penempatan Metulla dengan peluru berpandu, membunuh dan mencederakan beberapa daripada mereka. Kumpulan penentang Lubnan juga berkata ia menyasarkan pangkalan Beit Lid di timur bandar Netanya yang diduduki dengan peluru berpandu kualitatif.

    Hizbullah Lubnan tidak berdiam diri dalam menghadapi pencerobohan Israel. Pergerakan penentangan berkali-kali mengatakan operasinya adalah untuk menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza serta dalam mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan.

    IRNA

  • Laki-laki Indonesia membunuh 9

    JAKARTA — Sekurang-kurangnya sembilan orang maut selepas Gunung Lewotobi Laki-laki di timur Indonesia meletus pada Ahad, memuntahkan letupan lava dan memaksa pihak berkuasa mengosongkan beberapa kampung berdekatan, kata pegawai pada Isnin.

    Gunung Lewotobi Laki-laki, yang terletak di Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur, meletus pada Ahad pada 23.57 waktu tempatan (15:57 GMT), bersendawa lajur merah menyala, abu gunung berapi dan batu pijar, Hadi Wijaya, jurucakap bagi Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG), berkata pada Isnin.

    “Selepas letusan berlaku, bekalan elektrik terputus dan kemudiannya hujan dan petir besar menyebabkan panik dalam kalangan penduduk,” katanya kepada Reuters, sambil menambah pihak berkuasa telah menaikkan status gunung berapi itu ke tahap IV atau tertinggi.

    Agensi telah mengesyorkan radius tujuh kilometer (4.35 batu) mesti dibersihkan.

    Lava dan batu berapi melanda penempatan terdekat sekitar empat km (dua batu) dari kawah, membakar dan merosakkan rumah penduduk, kata Hadi.

    Setakat pagi Isnin sekurang-kurangnya sembilan orang maut, kata Heronimus Lamawuran, seorang pegawai tempatan di kawasan Flores Timur, sambil menambah letusan itu telah menjejaskan tujuh kampung.

    “Kami sudah mula memindahkan penduduk sejak pagi tadi ke kampung lain yang terletak sekitar 20 km (13 batu) dari kawah,” katanya.

    Kampung-kampung terdekat dilitupi abu gunung berapi tebal pada pagi Isnin, tambah Heronimus.

    Pihak berkuasa masih mengumpul data mengenai jumlah mangsa dipindahkan dan bangunan rosak.

    Indonesia terletak di “Lingkaran Api Pasifik”, kawasan dengan aktiviti seismik tinggi di atas pelbagai plat tektonik.

    Letusan ini mengikuti beberapa siri letusan gunung berapi yang berbeza di Indonesia. Pada Mei, gunung berapi di pulau terpencil Halmahera, Gunung Ibu, menyebabkan pemindahan penduduk dari tujuh kampung.

    Gunung berapi Ruang Sulawesi Utara juga telah meletus pada Mei dan mendorong pihak berkuasa memindahkan lebih 12,000 orang.

    Banjir kilat dan aliran lava sejuk dari Gunung Marapi di wilayah Sumatera Barat, meliputi beberapa daerah berhampiran berikutan hujan lebat pada 11 Mei, mengorbankan lebih 60 orang.

    REUTERS

  • 95 tahanan wanita alami keadaan teruk di penjara Israel

    RAMALLAH — Suruhanjaya Pihak Berkuasa Palestin bagi Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan hari ini melaporkan jumlah keseluruhan tahanan wanita Palestin di penjara Israel mencecah 95 orang.

    Ia berkata dalam satu kenyataan, tahanan wanita terbabit menghadapi keadaan semakin teruk di penjara Israel.

    Suruhanjaya menambah bahawa pihak berkuasa penjara Israel telah mengenakan langkah hukuman tambahan ke atas tahanan wanita, menafikan mereka daripada keperluan asas manusia seperti pakaian, makanan, dan rawatan perubatan.

    Tahanan juga telah diasingkan sepenuhnya dari dunia luar dan dikenakan layanan keras, termasuk penggeledahan bogel, dipukul, dan penindasan, kata kenyataan itu.

    WAFA

  • Angka maut di Gaza meningkat kepada 43,341, lebih 102,105 cedera

    GAZA — Tentera pendudukan Israel melakukan empat pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin dan 86 yang lain cedera, menurut laporan perubatan.

    Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 43,341 kematian dilaporkan, dengan tambahan 102,105 individu mengalami kecederaan. Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

    WAFA

  • Dron tembusi ruang udara Bukit Golan diduduki

    TEHRAN — Sebuah dron dilaporkan memasuki ruang udara Bukit Golan diduduki dari wilayah Syria, menyebabkan siren berbunyi merentasi lokasi berbeza.

    Al Jazeera memetik sumber Israel sebagai berkata siren dibunyikan di Bukit Golan diduduki bahagian selatan, bimbang kemungkinan pencerobohan dron.

    Tentera rejim Israel menyatakan ia telah mengesan objek udara tidak dikenali memasuki Bukit Golan diduduki dari timur.
    Beberapa sumber Israel mendakwa sebuah dron telah masuk dari Syria, terbang di kawasan itu sebentar, dan kemudian meletup di padang terbuka tanpa dipintas.

    Dalam kejadian berkaitan, saluran berita rejim melaporkan siren berbunyi di Haifa, Acre, dan kawasan sekitarnya di wilayah diduduki utara awal Ahad.

    Tentera rejim Israel selanjutnya melaporkan 10 roket dilancarkan dari selatan Lubnan ke arah Haifa.

    Selain itu, seorang askar terbunuh di utara Gaza pada Ahad selepas letupan bom tangan.

    Sementara itu, Penentangan Islam di Iraq mengumumkan pada Ahad ia telah melancarkan serangan dron ke atas tapak utama di Bukit Golan diduduki. Ia menekankan, operasi itu dijalankan bagi menyokong rakyat Palestin dan Lubnan yang menjadi sasaran kekejaman rejim Israel.

    Dalam satu kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata ia juga telah melakukan serangan dron menyasarkan kedudukan strategik di Lembah Jordan.

    Penentangan Islam di Iraq menekankan dalam kedua-dua kenyataan, ia akan meneruskan dan meningkatkan operasi anti-Israel selagi serangan ke atas Gaza dan Lubnan berterusan.

    IRNA

  • ‘Wanita langgar kesopanan awam di universiti Iran berada bawah tekanan mental’

    TEHRAN — Seorang pelajar perempuan yang melanggar kesopanan awam di sebuah universiti Iran awal minggu ini mengalami tekanan mental, kata seorang pegawai universiti.

    Amir Mahjoub, Ketua Pengarah Perhubungan Awam Universiti Islam Azad, membuat kenyataan itu di akaun X miliknya pada Ahad sebagai reaksi terhadap insiden seorang pelajar perempuan melakukan perbuatan tidak bermoral pada 2 November lalu.

    Susulan perbuatan tidak senonoh seorang pelajar di Cawangan Sains dan Penyelidikan Universiti Islam Azad, yang terletak di utara Tehran, pihak keselamatan kampus mengambil langkah dan menyerahkan individu itu kepada pihak penguat kuasa undang-undang, kata Mahjoub.

    Pemeriksaan menunjukkan pelajar itu mengalami tekanan mental, katanya.

    Pegawai itu menolak gembar-gembur media bahawa keselamatan kampus mempunyai hubungan fizikal dengan individu itu.

    Mahjoub menggesa orang ramai supaya mengelak daripada menyebarkan lagi rakaman kejadian yang memfitnah pelajar itu.

    IRNA

  • 6 maut, 9 cedera akibat kebakaran kilang gas di Kabul, Afghanistan

    KABUL — Enam orang kehilangan nyawa dan sembilan lagi cedera akibat kebakaran besar di sebuah kilang gas di Kabul, ibu negara Afghanistan, lapor media tempatan TOLOnews pada Ahad.

    Kebakaran berlaku petang Sabtu di sebuah kilang gas di kawasan Qala-e-Haidar Khan daerah Paghman, barat bandar Kabul.

    Noorullah Ansar, ketua jabatan bencana alam dan bomba bawah kementerian dalam negeri, mengesahkan enam orang terbunuh, dengan sembilan yang lain cedera.

    “Api telah dipadamkan sepenuhnya, dan anggota bomba dapat menghalang api daripada merebak ke pasar berdekatan,” kata Ansar.

    Menurut sumber, kerugian ekonomi masih belum dapat dipastikan dan punca kebakaran sedang disiasat.

    XINHUA

  • 1 maut, 5 cedera selepas kereta langgar pejalan kaki di utara Poland

    WARSAW — Sebuah kereta melanggar sekumpulan pejalan kaki di utara Poland, menyebabkan seorang maut dan lima lagi cedera, kata polis tempatan pada Ahad.

    Ia berlaku sekitar jam 2 pagi (0100 GMT) di bandar Slupsk, di mana seorang lelaki berusia 24 tahun maut di tempat kejadian. Lima yang lain, termasuk seorang wanita dalam keadaan kritikal, telah dibawa ke hospital, menurut Agensi Akhbar Poland (PAP).

    “Penemuan awal menunjukkan bahawa seorang pemandu berusia 20 tahun hilang kawalan ke atas kenderaannya, melanggar enam orang di kaki lima,” kata Amadeusz Galus dari jabatan polis Slupsk.

    Tambahnya, pemandu itu didapati mabuk berdasarkan ujian breathalyzer, dan sampel darah diambil untuk analisis lanjut.

    Polis sedang menyiasat kejadian itu bawah pengawasan pejabat pendakwa raya.

    XINHUA

  • Warga Bangladesh maut dalam serangan udara di Lubnan

    DHAKA — Seorang pekerja Bangladesh maut dalam serangan udara di Lubnan, kata kementerian luar Dhaka pada Ahad, ketika pengeboman Israel menghalang usaha menghantar pulang rakyat.

    Kementerian luar menganggarkan antara 70,000 dan 100,000 rakyatnya bekerja di Lubnan, kebanyakannya sebagai buruh atau pembantu rumah.

    Penerbangan pertama, yang dianjurkan oleh kerajaan Dhaka dengan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi PBB, membawa pulang ramai warga Bangladesh dari Beirut bulan lalu.

    Mohammad Nizam, 31, terbunuh pada petang Sabtu dalam serangan yang dilaporkan ketika dia singgah di sebuah kedai kopi dalam perjalanan ke tempat kerja di Beirut, duta Bangladesh ke Lubnan, Javed Tanveer Khan berkata dalam satu kenyataan.

    Mohmmad Jalaluddin berkata adiknya Nizam tinggal di Beirut selama lebih sedekad, dan tidak termasuk dalam anggaran 1,800 warga Bangladesh yang telah mendaftar untuk penerbangan pemindahan pulang.

    “Kami mahu mengebumikannya di rumah nenek moyang kami, dan kini sedang menunggu maklum balas kerajaan,” kata Jalaluddin kepada AFP.

    Tetapi pegawai kanan kementerian luar Bangladesh Shah Mohammad Tanvir Monsur berkata adalah mencabar untuk mengatur penerbangan ke Beirut.

    “Dengan perang yang berterusan, hampir tidak ada penerbangan dari Lubnan ke Bangladesh,” kata Monsur.

    “Ia menjadi semakin sukar untuk menghantar pulang rakyat kita yang telah mendaftar untuk pulang ke tanah air.”

    Israel secara drastik meningkatkan kempen udaranya terhadap kumpulan Hizbullah Lubnan pada September, menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.

    Ia sejak itu melancarkan serangan darat bertujuan untuk menolak kumpulan itu kembali dari sempadan utaranya.

    Hizbullah telah menembak beribu-ribu peluru ke Israel sepanjang tahun lalu, menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk Israel dipindahkan.

    Perang itu telah membunuh sekurang-kurangnya 1,930 orang di Lubnan, sejak ia bermula pada 23 September, menurut pengiraan AFP daripada angka kementerian kesihatan, walaupun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi disebabkan jurang data.

    Tentera Israel berkata 38 askar telah terbunuh dalam kempen Lubnan sejak ia memulakan operasi darat pada 30 September.

    AN-AFP

  • Dua maut dalam kebakaran hotel Dubai

    Dua orang maut selepas kebakaran berlaku di sebuah hotel di Dubai pada malam Jumaat.

    Kematian itu adalah akibat terhidu asap, kata pihak berkuasa.

    Pertahanan Awam Dubai tiba di lokasi kejadian, di kawasan Naif di Deira, dalam tempoh enam minit dan mengosongkan kawasan itu sebelum menangani kebakaran.

    Pihak berkuasa mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Ia tidak didedahkan di hotel mana kebakaran berlaku, atau jika ada yang cedera.

    THE NATIONAL