Category: BERITA

ad

  • Premier Sarawak setuju pendidikan tinggi percuma diperluas ke IPTA – Firdaus

    KUCHING – Inisiatif pendidikan tinggi percuma yang ditawarkan Kerajaan Sarawak, mulai tahun depan, akan diperluaskan kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bawah fasa kedua program itu.

    Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Prof Dr Firdaus Abdullah, berkata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan itu, khususnya bagi penuntut UiTM Cawangan Sarawak, dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir.

    “Perkara ini akan dilaksanakan pada fasa kedua, dengan pendidikan percuma diperluaskan kepada pelajar rakyat Sarawak di IPTA dalam negeri ini, terutama UiTM Cawangan Sarawak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, di sini, hari ini.

    Fasa pertama inisiatif pendidikan tinggi percuma itu membabitkan lima institusi, iaitu Kolej Universiti i-CATS (iCats), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Universiti Teknologi Sarawak, Curtin University Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak.

    Sementara itu, Firdaus berkata, Abang Johari mencadangkan supaya UiTM Sarawak bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam sektor agrikultur dengan menjadikan UiTM Kampus Mukah hab projek penanaman padi, khususnya dalam penyelidikan dan pembangunan benih padi, produktiviti dan hasil padi.

    “Kita akan meneliti cadangan itu dan menubuhkan satu pasukan penyelidikan untuk kajian serta mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak bagaimana kita dapat membantu dari segi teknologi, infrastruktur dan produktiviti penanaman padi di negeri ini.

    “Ini juga termasuk penyimpanan karbon kerana penanaman padi ada kaitan dengan perkara itu,” katanya.

    BH ONLINE

  • ‘My God!’ ungkap Najib terkejut mengetahui RM42 juta dalam akaunnya – saksi

    KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak terkejut selepas mendapat tahu dua akaun bank peribadinya menerima kemasukan wang berjumlah RM42 juta.

    Dr Shamsul Anwar yang memberikan keterangan selaku saksi pembelaan, berkata bekas perdana menteri itu menelefonnya dan bertanyakan sama ada beliau (Shamsul Anwar) memasukkan dana berkenaan melalui tiga transaksi pemindahan.

    IPSB ialah badan amal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang ditubuhkan untuk kerja kebajikan sosial, yang menerima pembiayaan daripada 1MDB dan Yayasan Rakyat 1 Malaysia (YR1M).

    Saksi pembelaan ke-14 itu berkata, beliau mengesahkan kepada Najib bahawa dia memang membuat tiga pemindahan berkenaan, bagaimanapun menjelaskan ketika membuat transaksi itu, beliau tidak mengetahui siapakah pemilik akaun.

    “Datuk Seri bertanya mengapa saya memindahkan dana ke dalam akaun itu, saya beritahu saya mengikut arahan Ung Su Ling dan Dennis See (Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), kerana ia amalan biasa bagi saya untuk memproses pembayaran berdasarkan arahan mereka untuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

    “Oleh kerana peranan mereka dalam YR1M, saya percaya bahawa pembayaran ini bertujuan untuk tujuan CSR.

    “Daripada reaksinya melalui telefon, nampaknya bahawa Datuk Sri Najib terperanjat, kerana saya dengan jelas mendengar dia menggumam dengan menyatakan, ‘My God!’

    Shamsul Anwar yang membacakan pernyataan saksinya, memberitahu reaksi itu didengar ketika menerima panggilan daripada Najib ketika dalam perjalanan ke Brussels.

    Saksi itu menjelaskan, jika beliau mengetahui dua akaun bank itu adalah milik Najib, beliau akan bertanya kepadanya terlebih dahulu.

    Terdahulu, Dr Shamsul Anwar berkata, IPSB menerima geran berjumlah RM40 juta setiap tahun untuk melaksanakan program CSR bagi 1MDB yang diterimanya daripada dua yayasan iaitu Yayasan 1MDB (YIMDB) dan YRIM.

    Bagaimanapun selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dimasukkan akaun AmPrivate Banking -1MY dan AmPrivate Banking – MY dengan nombor akaun berakhir 880 dan 906, Dr Shamsul Anwar tidak membuat sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

    Dr Shamsul Anwar yang disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau menerima arahan untuk melakukan pemindahan wang melalui e-mel daripada Su Ling disusuli dengan arahan daripada See untuk memastikan ia dilaksanakan.

    Menurut Dr Shamsul Anwar, beliau melakukan dua pemindahan wang pertama pada 26 Disember 2014 masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM27 juta, manakala pemindahan ketiga ialah pada 10 Februari 2015, sebanyak RM10 juta.

    Dana berjumlah RM42 juta itu adalah perkara subjek pada perbicaraan jenayah berasingan yang membabitkan Najib.

    Ketika disoal Muhammad Shafee mengapa beliau mengikut arahan untuk memindahkan wang itu, Dr Shamsul Anwar berkata arahan itu datang daripada Su Ling dan See dari YR1M, yang merupakan pembiaya IPSB.

    “Saya terpaksa mengikut arahan mereka berhubung pengeluaran dana,” katanya.

    Saksi itu juga berkata bahawa dia telah mengambil tanggungjawab sendiri untuk menyemak secara dalaman dengan Jabatan Kewangan IPSB mengenai siapa pemilik akaun bank itu tetapi usaha itu sia-sia.

    Katanya, beliau juga cuba membuat pengesahan dengan Su Ling melalui telefon dan secara peribadi beberapa kali, namun Su Ling tidak mendedahkan maklumat itu kepadanya.

    “Saya juga bertanya kepada See soalan yang sama tetapi dia beritahu, saya tidak perlu mengetahui butiran pemegang akaun AmPrivate Banking-1 MY dan AmPrivate Banking-MY,” katanya.

    Dr Shamsul Anwar memberikan keterangan pada perbicaraan membabitkan Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Prosiding di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok.

    BH ONLINE

  • Pekan Beaufort lumpuh akibat banjir besar sejak kelmarin

    BEAUFORT – Aktiviti perniagaan sekitar Pekan Beaufort di sini, lumpuh sepenuhnya apabila hampir keseluruhan kawasan pekan ini ditenggelami air berikutan banjir besar yang melanda daerah ini sejak kelmarin.

    Tinjauan mendapati semua jalan raya di kawasan pekan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan, manakala sebahagian besar tingkat bawah premis dimasuki air.

    Turut terjejas ialah premis bertiang, khususnya bangunan kedai lama yang dibina khas bagi mengelak banjir yang menjadi ciri ikonik pekan Beaufort.

    Dengan ketinggian tiang lebih semeter dari permukaan tanah, paras air banjir akibat limpahan air Sungai Padas kebiasaannya tidak melepasi lantai bangunan.

    Namun, situasi berbeza kali ini apabila paras air turut melepasi lantai bangunan bertiang, menggambarkan banjir luar biasa yang melanda daerah ini.

    Selain premis kedai, banjir turut memasuki stesen kereta api dan menjejaskan perkhidmatan yang menghubungkan daerah ini dengan Kota Kinabalu dan kampung di bahagian hulu Sungai Padas.

    Beberapa premis kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Klinik Pergigian, Klinik Kesihatan serta beberapa sekolah berhampiran pekan juga terjejas akibat banjir.

    Turut kelihatan beberapa kenderaan ditenggelami air, antaranya yang diletakkan di pekarangan Stesen Keretapi Beaufort, dipercayai tidak sempat dialihkan pemiliknya.

    Tinjauan turut mendapati anggota bomba menggunakan bot untuk membawa keluar penduduk yang terjejas di kawasan pekan, selain ada penduduk menggunakan bot plastik keluar dari premis.

    Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 4,159 mangsa banjir dipindahkan di empat daerah setakat jam 4 petang ini.

    Daripada jumlah itu, Beaufort mencatat jumlah tertinggi dengan seramai 1,339 mangsa, diikuti daerah Tenom seramai 1,162 mangsa, Membakut (880 mangsa) dan Sook (778 mangsa).

    Setakat ini, sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Beaufort, manakala 13 PPS di Tenom, diikuti dua PPS di Membakut dan tiga PPS di Sook.

    Difahamkan, hujan lebat berterusan dengan kadar yang tinggi mencecah 200 milimeter (mm) berbanding kadar biasa kira-kira 50 mm, selain fenomena air pasang tinggi hingga mencapai 2.5 meter punca utama banjir besar di daerah terbabit.

    BH ONLINE

  • Dua anggota polis positif dadah dibebaskan dengan jaminan

    KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang ditahan selepas didapati positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini, Sabtu lalu dibebaskan dengan jaminan.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata anggota polis lelaki dan wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman sehari terhadap mereka tamat.

    “Anggota polis lelaki positif dadah methamphetamine, amphetamine, ketamin dan benzo, manakala anggota wanita positif dadah benzo.

    “Siasatan mendapati bekalan dadah diambil dari luar premis hiburan berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Polis Kontinjen Kuala Lumpur memaklumkan, dua anggota polis itu adalah antara 55 individu termasuk empat warga asing yang dicekup dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

    Serbuan yang bermula pada jam 4 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat dengan pemeriksaan mendapati anggota polis lelaki dan wanita berkenaan positif dadah Eramin 5 dan ketamin.

    Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad dilaporkan berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati 49 individu membabitkan 25 lelaki dan 17 wanita positif dadah, termasuk penjawat awam itu.

    Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta Hiburan 1992, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

    Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1953.

    BH ONLINE

  • Dua lelaki Nepal maut dalam nahas tiga kenderaan

    BERA – Dua lelaki warga Nepal yang menaiki motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Bera-Mayam pada jam 8.43 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kedua-duanya mati di lokasi akibat kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan lain.

    “Siasatan awal mendapati, sebuah pikap dan kereta Proton Satria Neo dalam perjalanan dari arah Mayam ke Bera sebelum terbabit dengan motosikal jenis Demak Spark 110 yang ditunggang kedua-dua mangsa keluar dari simpang sebelah kiri jalan.

    “Motosikal itu mulanya bergesel dengan pikap terbabit sebelum dilanggar kereta yang mengekori di belakang,” katanya.

    Zulkiflee berkata, punca kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang keluar dari persimpangan tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang bergerak terus.

    “Kedua-dua pemandu kenderaan yang terbabit dalam nahas itu tidak mengalami kecederaan. Mayat mangsa dihantar bedah siasat di Hospital Bera, punca nahas sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

    BH ONLINE

  • Polis terima laporan ketiga, doktor berkelakuan tak senonoh ditahan semula

    GEORGETOWN – Seorang doktor perubatan sebuah hospital di sini, yang ditahan kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit pada Khamis lalu, ditahan semula hari ini bagi melengkapkan siasatan terhadapnya.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata tempoh tahanan reman lelaki berusia 43 tahun itu tamat hari ini, namun suspek ditahan semula susulan laporan polis ketiga dibuat terhadapnya pada Jumaat lalu.

    “Lelaki itu ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kita mahu melengkapkan siasatan kes berkaitan laporan ketiga dibuat seorang wanita mendakwa dirinya juga menjadi mangsa.

    “Doktor itu akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan terhadapnya selesai. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini pada jam 9.30 malam 26 Februari lalu, selepas menerima maklumat daripada pihak hospital.

    Suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac lalu.

    Bagaimanapun, suspek ditahan semula pada Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023 dan polis memperoleh perintah reman hingga hari ini.

    Jumaat lalu, seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Februari lalu.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Polis terima laporan ketiga, doktor berkelakuan tak senonoh ditahan semula

    GEORGETOWN – Seorang doktor perubatan sebuah hospital di sini, yang ditahan kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit pada Khamis lalu, ditahan semula hari ini bagi melengkapkan siasatan terhadapnya.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata tempoh tahanan reman lelaki berusia 43 tahun itu tamat hari ini, namun suspek ditahan semula susulan laporan polis ketiga dibuat terhadapnya pada Jumaat lalu.

    “Lelaki itu ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kita mahu melengkapkan siasatan kes berkaitan laporan ketiga dibuat seorang wanita mendakwa dirinya juga menjadi mangsa.

    “Doktor itu akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan terhadapnya selesai. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini pada jam 9.30 malam 26 Februari lalu, selepas menerima maklumat daripada pihak hospital.

    Suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac lalu.

    Bagaimanapun, suspek ditahan semula pada Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023 dan polis memperoleh perintah reman hingga hari ini.

    Jumaat lalu, seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Februari lalu.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Angka kematian akibat ribut cecah 15 di selatan Argentina

    BUENOS AIRES, 9 Mac – Angka kematian akibat ribut kencang yang melanda bandar pelabuhan Bahia Blanca di selatan Argentina pada Jumaat meningkat kepada 15 orang, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad.

    Federico Susbielles, datuk bandar Bahia Blanca, berkata jumlah kematian mungkin lebih tinggi disebabkan magnitud fenomena meteorologi yang melanda bandar dan pekan sekitarnya.

    Aktiviti telah digantung, dan penduduk tempatan telah diminta untuk tinggal di rumah, tambahnya.

    Menurut kemas kini daripada majlis perbandaran Bahia Blanca, sekurang-kurangnya 1,450 orang telah dipindahkan setakat ini, manakala 100 lagi hilang.

    Kerajaan Argentina mengatur operasi bantuan dan pemindahan yang melibatkan kementerian pertahanan dan keselamatan serta kerajaan wilayah Buenos Aires.

    Ribut hujan Jumaat adalah yang paling kuat dalam sejarah bandar itu, memecahkan rekod hujan yang ditetapkan pada Mac 1933, menurut data rasmi.

    XINHUA

  • Rusia tawan semula 3 penempatan di wilayah Kursk: kementerian pertahanan

    MOSCOW – Tentera Rusia menguasai semula tiga penempatan di wilayah Kursk, kata Kementerian Pertahanan pada Ahad.

    “Hasil operasi tegas, unit Pasukan Sever (Utara) membebaskan Malaya Loknya, Cherkasskoye Porechnoye dan Kositsa di wilayah Kursk,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa tentera Rusia meneruskan operasi untuk mengalahkan angkatan bersenjata Ukraine di wilayah Kursk.

    Ketiga-tiga penempatan itu semuanya terletak di utara Sudzha yang dikuasai Ukraine, sebuah pekan penting yang mendapatkan bekalan untuk operasinya di Kursk.

    XINHUA

  • Wanita maut, suami dan dua anak cedera kemalangan

    KULAI – Seorang wanita maut, manakala suaminya dan dua anak mereka termasuk bayi berusia empat bulan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 39.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima makluman dari Bilik Gerakan IPD Kulai berkaitan kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan Proton Persona.

    Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Produa Myvi yang dipandu lelaki tempatan berumur 30 tahun bersama isteri, 29 tahun dan dua anak mereka berumur empat tahun dan empat bulan hilang kawalan ketika berada di lorong kiri.

    “Kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berumur 32 tahun yang berada di lorong kanan.

    “Pelanggaran menyebabkan Perodua Myvi terbalik dan terbabas ke lorong kecemasan.

    “Kemalangan itu menyebabkan penumpang Perodua Myvi wanita berumur 29 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Seng Lee, pemandu dan dua anaknya dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • Hizbullah berikrar untuk tamatkan kehadiran Israel di selatan Lubnan

    BEIRUT – Setiausaha Agung Hizbullah Naim Qassem menegaskan lagi pada Ahad, kumpulan itu tidak akan membenarkan sebarang kehadiran Israel di selatan Lubnan, menekankan kekuatan dan komitmen berterusan Hizbullah terhadap pertahanan Lubnan.

    Dalam wawancara televisyen dengan TV al-Manar, Qassem mendedahkan bahawa semasa perjanjian gencatan senjata, Hizbullah menghentikan operasi tetapi mengekalkan kesediaan tentera sepenuhnya.

    “Sepanjang 60 hari lalu, Israel telah melakukan banyak pelanggaran. Perjanjian itu jelas menetapkan bahawa Israel mesti berundur di seberang Sungai Litani,” tambahnya.

    Mengenai hal domestik, Qassem mengulangi dedikasi Hizbullah terhadap kestabilan dan tadbir urus negara, menyokong kuasa eksklusif pasukan keselamatan ke atas keselamatan dalam negeri.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa senjata Hizbullah adalah penting untuk menghadapi Israel. “Israel menimbulkan ancaman kewujudan, dan penentangan adalah hak Lubnan,” katanya.

    Qassem juga membincangkan pembinaan semula Lubnan, menegaskan bahawa membina semula kawasan yang dilanda perang adalah tanggungjawab negara. Beliau menekankan peranan berterusan Hizbullah dalam hal ehwal politik dan ketenteraan, menegaskan bahawa “penentangan” akan berterusan selagi ancaman Israel masih ada.

    Perjanjian gencatan senjata, yang dicapai pada 27 November 2024, sebahagian besarnya menghentikan permusuhan selama setahun antara Hizbullah dan Israel, termasuk perang berskala penuh selama dua bulan yang menyaksikan penempatan tentera darat Israel.

    Perjanjian itu mewajibkan pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari; bagaimanapun, Israel telah mengekalkan kehadiran di lima kedudukan strategik di sepanjang sempadan, memetik ancaman berterusan daripada Hizbullah.

    XINHUA

  • Bedilan membunuh 7 di bandar Sudan dirampas semula tentera

    Askar Sudan yang baru tamat pengajian menjadi perhatian semasa upacara di Merowe di utara Sudan pada 27 Februari 2025. (AFP)

    PORT SUDAN – Bedilan separa tentera pada Ahad ke atas bandar strategik di selatan Sudan, di mana tentera mematahkan kepungan berpanjangan bulan lalu, membunuh tujuh orang awam dan mencederakan hampir dua dozen yang lain, kata sumber perubatan.

    El-Obeid, ibu negeri Kordofan Utara, diserang oleh Pasukan Sokongan Pantas separa tentera, atau RSF, yang berperang dengan tentera sejak April 2023, kata sumber di hospital utama bandar itu dan beberapa saksi.

    Saksi melaporkan pengeboman sengit oleh RSF pada Ahad, dengan satu peluru menghentam bas pengangkutan awam yang membawa penumpang, pada hari ketiga berturut-turut serangan dari utara dan timur.

    Sumber hospital berkata bedilan itu membunuh tujuh orang dan mencederakan 23 yang lain, semuanya orang awam.

    Bulan lalu, tentera mematahkan pengepungan RSF hampir dua tahun di El-Obeid, yang terletak di lintasan penting menghubungkan ibu kota Khartoum ke wilayah barat negara itu, Darfur.

    RSF telah menawan hampir seluruh Darfur manakala tentera mengawal utara dan timur negara itu dan baru-baru ini memenangi kembali sebahagian besar Khartoum dan tengah Sudan.

    Perang itu, mempertemukan ketua tentera Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan dengan bekas timbalannya, komander RSF Jeneral Mohammed Hamdan Dagalo, telah meragut puluhan ribu nyawa, mencabut lebih 12 juta, dan mewujudkan krisis kelaparan dan perpindahan terbesar di dunia.

    Sementara itu, kumpulan bantuan antarabangsa berkata hampir 100 orang mati akibat taun dalam dua minggu sejak wabak penyakit bawaan air bermula di Negeri White Nile di Sudan.

    Doktor Tanpa Sempadan – juga dikenali sebagai Medecins Sans Frontieres atau MSF – berkata 2,700 orang telah dijangkiti penyakit itu sejak 20 Februari, termasuk 92 orang yang meninggal dunia.

    Daripada pesakit taun yang diterima masuk yang meninggal dunia, 18 adalah kanak-kanak, termasuk lima kanak-kanak yang tidak lebih daripada 5 tahun, dan lima lagi yang tidak lebih daripada 9 tahun, kata Marta Cazarola, penyelaras kecemasan MSF untuk Sudan.

    Kumpulan RSF melancarkan serangan sengit bulan lalu di Negeri White Nile yang membunuh ratusan orang awam, termasuk bayi.

    Tentera Sudan mengumumkan pada masa itu bahawa ia membuat kemajuan di sana, memotong laluan bekalan penting kepada RSF.

    Semasa serangan RSF di negeri itu pada 16 Februari, kumpulan itu melepaskan peluru yang menghentam loji janakuasa Rabak, menyebabkan gangguan kuasa besar-besaran dan mencetuskan gelombang terbaharu taun, menurut MSF.

    Selepas itu, penduduk di kawasan itu terpaksa bergantung terutama kepada air yang diperoleh daripada kereta keldai kerana pam air tidak lagi beroperasi.

    “Serangan ke atas infrastruktur kritikal mempunyai kesan buruk jangka panjang terhadap kesihatan komuniti yang terdedah,” kata Marta Cazorla, penyelaras kecemasan MSF untuk Sudan.

    Wabak taun di negeri itu memuncak antara 20-24 Februari, apabila pesakit dan keluarga mereka bergegas ke Hospital Pengajaran Kosti, mengatasi kemudahan di luar kemampuannya, menurut MSF.

    Kebanyakan pesakit mengalami dehidrasi teruk. MSF menyediakan 25 tan barangan logistik seperti katil dan khemah kepada Kosti untuk membantu menyerap lebih ramai pesakit taun.

    Cazarola berkata bilangan di pusat rawatan taun semakin berkurangan dan pada tahap rendah sehingga wabak terbaru ini.

    Kementerian Kesihatan Negeri White Nile bertindak balas terhadap wabak itu dengan menyediakan akses masyarakat kepada air bersih dan melarang penggunaan kereta keldai untuk mengangkut air.

    Pegawai kesihatan juga menjalankan kempen vaksinasi apabila wabak itu bermula.

    Taun secara rasmi diisytiharkan sebagai wabak pada 12 Ogos tahun lalu oleh Kementerian Kesihatan Sudan selepas gelombang kes baharu dilaporkan bermula 22 Julai.

    AN-AFP/AP

  • Iran, Rusia, China akan adakan latihan ketenteraan bersama

    Kapal pengisian semula Tentera Laut Pembebasan Rakyat China jenis 903A di laut semasa “Sabuk Keselamatan Maritim 2024” gabungan latihan tentera laut antara Iran, Rusia dan China di Teluk Oman. (AFP)

    TEHRAN – Tentera laut Iran, Rusia dan China akan mengadakan latihan ketenteraan di luar pantai Iran minggu ini dalam usaha meningkatkan kerjasama, lapor media Iran pada Ahad.

    Ketiga-tiga negara telah mengadakan latihan serupa di rantau ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Latihan “akan bermula pada Selasa di pelabuhan Chabahar,” yang terletak di tenggara Iran di Teluk Oman, kata agensi berita Tasnim, tanpa menyatakan tempohnya.

    “Kapal perang dan kapal tempur serta sokongan kapal tentera laut China dan Rusia, dan kapal perang tentera laut Iran serta Pengawal Revolusi,” dijangka mengambil bahagian, menurut Tasnim.

    Latihan itu akan berlangsung “di utara Lautan Hindi” dan bertujuan untuk “menguatkan keselamatan di rantau ini dan mengembangkan kerjasama pelbagai hala antara negara yang mengambil bahagian,” kata Tasnim.

    China akan mengerahkan “kapal pemusnah dan bekalan,” kata Kementerian Pertahanan Beijing di rangkaian media sosial WeChat.

    Pada Februari, tentera Iran menjalankan latihan di kawasan yang sama untuk “menguatkan keupayaan pertahanan terhadap sebarang ancaman”.

    Azerbaijan, Afrika Selatan, Kazakhstan, Pakistan, Iraq, dan Sri Lanka adalah antara negara yang akan hadir sebagai pemerhati.

    AN-AFP, 9 Mac 2025

  • Kebakaran hutan terburuk Jepun dalam tempoh 50 tahun dalam kawalan

    Foto diambil pada 5 Mac 2025 dan dikeluarkan pada 6 Mac oleh Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun menunjukkan anggota bomba sedang bertungkus-lumus dalam kebakaran hutan di bandar Ofunato, Wilayah Iwate. (AFP)

    TOKYO – Kebakaran hutan paling teruk di Jepun dalam tempoh lebih setengah abad, yang mengorbankan sekurang-kurangnya seorang, dapat dikawal, kata datuk bandar di bandar utara, Ofunato pada Ahad.

    Kebakaran marak di pergunungan sekitar kawasan luar bandar sejak 26 Februari, membunuh sekurang-kurangnya seorang, merosakkan sekurang-kurangnya 210 bangunan dan memaksa lebih 4,200 penduduk meninggalkan rumah mereka, kata pegawai tempatan.

    “Berikutan tinjauan udara, kami menilai kebakaran itu tidak lagi menimbulkan risiko merebak. Saya mengisytiharkan bahawa kebakaran kini terkawal,” Datuk Bandar Ofunato, Kiyoshi Fuchigami memberitahu sidang akhbar.

    Kebakaran itu menyambar kira-kira 2,900 hektar (7,170 ekar) – kira-kira separuh saiz Manhattan – menjadikannya yang terbesar di Jepun dalam tempoh lebih 50 tahun.

    Ia melepasi 2,700 hektar yang terbakar oleh kebakaran 1975 di pulau Hokkaido.

    Cuaca lembap yang bermula pada Rabu berikutan tempoh kering rekod membantu usaha memadam kebakaran.

    Jepun mengalami musim panas terpanas dalam rekod tahun lalu apabila perubahan iklim meningkatkan suhu di seluruh dunia.

    Ofunato menerima hanya 2.5 milimeter (0.1 inci) hujan pada Februari, memecahkan rekod terendah sebelumnya untuk bulan 4.4 milimeter pada 1967 dan jauh di bawah purata 41 milimeter.

    Bilangan kebakaran hutan di Jepun telah menurun sejak puncaknya pada 1970-an.

    Kebakaran hutan di Jepun cenderung berlaku antara Februari dan Mei, apabila udara kering dan angin bertiup.

    Terdapat kira-kira 1,300 setahun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    AN-AFP

  • Israel berkata ia putuskan bekalan elektriknya ke Gaza

    Kanak-kanak Palestin menunggu untuk menerima makanan yang dimasak oleh dapur amal, semasa Ramadan, di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza, 9 Mac 2025. (Reuters)

    BAITULMAQDIS – Israel berkata ia akan memutuskan bekalan elektriknya ke Gaza. Kesan penuh daripada itu tidak serta-merta jelas, tetapi loji penyahgaraman wilayah menerima tenaga untuk menghasilkan air minuman.

    Pengumuman pada Ahad dibuat seminggu selepas Israel memotong semua bekalan barangan ke wilayah itu kepada lebih 2 juta orang. Ia telah berusaha untuk menekan Hamas untuk menerima lanjutan fasa pertama gencatan senjata mereka. Fasa itu berakhir hujung minggu lalu.

    Hamas telah mendesak untuk memulakan rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata yang lebih sukar.

    Gaza sebahagian besarnya telah musnah akibat perang, dan penjana serta panel solar digunakan untuk beberapa bekalan tenaga.

    AN-AP

  • Beribu-ribu rakyat Australia tanpa bekalan elektrik apabila ribut Alfred melanda Queensland

    Gold Coast, Australia, 8 Mac 2025. REUTERS

    Beratus-ratus ribu orang di negeri Queensland Australia terputus bekalan elektrik pada Ahad selepas Alfred, taufan tropika, membawa angin dan hujan lebat yang merosakkan, mencetuskan amaran banjir.

    Kira-kira 316,540 orang terputus bekalan elektrik di tenggara Queensland, di mana bandar Gold Coast merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 112,000 orang terputus bekalan elektrik akibat sistem ribut, kata pengedar tenaga Energex dalam satu kenyataan.

    Ribut melanda pantai Queensland pada Sabtu sebagai “rendah tropika” selepas 16 hari sebagai taufan, mendorong persiapan oleh berjuta-juta penduduk. Ibu negeri Brisbane terhindar daripada ribut yang turut dirasai di jiran selatan New South Wales.

    Perdana Menteri Anthony Albanese berkata pada Ahad “keadaan di Queensland dan utara New South Wales kekal sangat serius akibat banjir kilat dan angin kencang”.

    “Hujan lebat, tiupan angin yang merosakkan, dan kesan ombak pantai dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang,” kata Albanese di Canberra, dalam kenyataan disiarkan oleh Australian Broadcasting Corp.

    Biro Meteorologi negara berkata hujan lebat yang boleh mencetuskan banjir kilat sedang berkembang pada Ahad dan boleh memberi kesan kepada Brisbane serta pusat wilayah Queensland Ipswich, Sunshine Coast dan Gympie, katanya.

    Angin yang merosakkan dengan tiupan sekitar 90 kph (60 mph) juga mungkin berlaku di negeri ini, kata biro itu di laman webnya.

    “Ia kini hanya paras rendah yang lemah kerana ia terus bergerak lebih jauh ke pedalaman melalui tenggara Queensland, membawa banyak hujan,” kata pakar meteorologi biro Dean Narramore.

    Lapangan Terbang Brisbane dibuka semula pada Ahad tetapi menyiarkan di X bahawa “cuaca berterusan mungkin menjejaskan jadual”.

    Queensland akan memutuskan pada Ahad sama ada kira-kira 1,000 sekolah negeri, ditutup kerana cuaca buruk, akan dibuka semula pada Isnin, kata Premier David Crisafulli.

    “Di mana ia selamat untuk berbuat demikian, sekolah akan dibuka semula dengan pengecualian Gold Coast, di mana masih terdapat beberapa kerosakan yang ketara. Kehilangan kuasa dan masalah dengan pengangkutan,” kata Crisafulli dalam komen televisyen dari Brisbane.

    “Satu perkara kekal konsisten, iaitu semangat kemasyarakatan dan keazaman,” katanya.

    Pada Sabtu, seorang lelaki maut dalam air banjir di utara New South Wales, manakala dua kenderaan pasukan pertahanan Australia dalam perjalanan untuk membantu penduduk di bandar Lismore terlibat dalam perlanggaran jalan raya yang mencederakan beberapa pegawai, kata pegawai.

    REUTERS

  • Perkhidmatan Rahsia AS tembak lelaki bersenjata dekat Rumah Putih: jurucakap

    WASHINGTON – Ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) menembak seorang lelaki bersenjata berdekatan Rumah Putih pada waktu malam, kata jurucakap agensi awal Ahad, ketika Presiden Donald Trump menghabiskan hujung minggu di kediamannya di Mar-a-Lago di Florida.

    Lelaki itu telah dimasukkan ke hospital dan keadaannya “tidak diketahui”, kata jurucakap itu dalam satu kenyataan yang tidak menyatakan sama ada Rumah Putih atau Trump mungkin menjadi sasaran yang dimaksudkan.

    Tiada kecederaan kepada ejen Perkhidmatan Rahsia dilaporkan, menurut kenyataan yang disiarkan oleh jurucakap Anthony Guglielmi di platform media sosial X.

    Ejen-ejen itu telah diberi amaran oleh polis tempatan mengenai seorang lelaki “ingin bunuh diri” dalam perjalanan ke Washington dari Indiana dan sekitar tengah malam menemui kenderaannya yang diletakkan berdekatan 17th dan F Streets, kata kenyataan itu – sangat dekat dengan Rumah Putih.

    Mereka kemudian melihat individu berdekatan yang sepadan dengan penerangan diberikan kepada mereka, kata kenyataan itu.

    “Ketika pegawai menghampiri, individu itu mengacukan senjata api dan konfrontasi bersenjata berlaku, di mana tembakan dilepaskan oleh anggota kami,” kata kenyataan itu.

    “Suspek telah dihantar ke hospital kawasan dan keadaannya tidak diketahui,” katanya, sambil menambah bahawa polis Washington sedang menyiasat.

    AN-AFP

  • Rusia berkata tawan satu lagi kampung timur Ukraine

    Letupan kelihatan di langit di atas bandar itu semasa serangan dron Rusia, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di Kyiv, Ukraine 8 Mac 2025. (Reuters)

    MOSCOW – Rusia mengumumkan pada Ahad penawanan sebuah lagi perkampungan timur Ukraine, di wilayah Donetsk, ketika tenteranya mara ke arah tengah wilayah Dnipropetrovsk.

    Kementerian pertahanan berkata dalam taklimat bahawa tenteranya telah menawan kampung Kostyantynopil, kira-kira 50 kilometer (30 batu) barat bandar Donetsk dikawal Rusia.

    Tentera Rusia telah mara dengan mantap di wilayah Donetsk dan kini dekat kepada Dnipropetrovsk, yang setakat ini bebas daripada pertempuran. Kostyantynopil terletak sekitar 13 kilometer (lapan batu) dari garis sempadan wilayah.

    Kampung ini diasaskan pada abad ke-18 oleh peneroka Yunani dari Crimea, yang menamakannya sempena kota kuno Constantinople.

    AN-AFP

  • Sharaa rayu untuk keamanan komunal ketika pertempuran berterusan

    KAHERAH – Pemimpin Syria, Ahmed Sharaa menggesa perdamaian pada Ahad selepas ratusan terbunuh di kawasan pantai dalam keganasan komunal terburuk sejak kejatuhan Bashar al Assad.

    “Kita perlu memelihara perpaduan negara dan keamanan domestik, kita boleh hidup bersama,” kata Sharaa, presiden sementara, ketika pertempuran berterusan antara pasukan yang dikaitkan dengan pemerintah Islamis baru dan pejuang dari mazhab Alawi Assad.

    “Yakinlah tentang Syria, negara ini mempunyai ciri-ciri untuk terus hidup,” kata Sharaa dalam video yang tersebar, bercakap di sebuah masjid di kawasan kejiranan zaman kanak-kanaknya di Mazzah di Damsyik. “Apa yang sedang berlaku di Syria adalah dalam cabaran yang dijangkakan.”

    Sumber keselamatan Syria berkata sekurang-kurangnya dua ratus anggota mereka terbunuh dalam pertempuran dengan bekas anggota tentera yang setia kepada Assad selepas serangan terkoordinasi dan serangan hendap ke atas tentera mereka yang dilancarkan pada Khamis.

    Serangan itu meningkat kepada pembunuhan balas dendam apabila beribu-ribu penyokong bersenjata pemimpin baharu Syria dari seluruh negara turun ke kawasan pantai untuk menyokong pasukan pentadbiran baharu yang terkepung.

    AN-REUTERS

  • Polis berkata serangan Taliban Pakistan membunuh empat separa tentera

    Serangan berlaku di daerah Kurram, yang terletak di sempadan dengan Afghanistan, di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, di mana terdapat peningkatan keganasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. (AFP)

    PESHAWAR – Sekurang-kurangnya empat separa tentera Pakistan terbunuh apabila pejuang Taliban tempatan menyerang pusat pemeriksaan keselamatan di wilayah sempadan barat laut, kata seorang pegawai polis pada Ahad.

    Serangan itu berlaku di daerah Kurram, terletak di sempadan dengan Afghanistan, di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, di mana terdapat peningkatan keganasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Militan bersenjata lengkap” melancarkan serangan pada pagi Ahad, seorang pegawai polis memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

    “Sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan terkorban, dan tujuh lagi cedera,” katanya.

    Keganasan meningkat di Pakistan sejak Taliban Afghanistan kembali berkuasa di Kabul pada Ogos 2021.

    Taliban Pakistan — dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) — ialah kumpulan militan paling aktif di wilayah barat laut dan kerap menyasarkan pasukan keselamatan.

    Islamabad menuduh pemerintah Kabul gagal menumpaskan militan yang berlindung di bumi Afghanistan ketika mereka bersiap untuk melancarkan serangan ke atas Pakistan, tuduhan yang dinafikan kerajaan Taliban.

    Minggu lalu, 13 orang awam dan lima askar terbunuh apabila pengebom berani mati membawa dua bom kereta ke dalam kawasan tentera di daerah Bannu di wilayah yang sama.

    Tahun lalu adalah yang paling maut dalam sedekad bagi Pakistan, menempatkan 250 juta orang, dengan lonjakan serangan yang membunuh lebih 1,600 orang, menurut Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan, sebuah kumpulan analisis berpangkalan di Islamabad.

    AN-AFP