Category: NEWS

  • Warga emas cedera 2 kali ditanduk kerbau di kolam udang

    KUALA PILAH — Seorang warga emas cedera ditanduk kerbau betina ketika sedang bekerja di sebuah kolam udang di Kampung Jumbang, dekat Seri Menanti, di sini.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang Rabu lalu ketika Mohd Ashraf Lebar, 63, sedang memberi makan udang di kolam milik majikannya itu.

    Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dengan luka sedalam 7.5 sentimeter pada dada.

    Menceritakan kejadian itu, katanya sekumpulan kerbau yang kebiasaannya berada di seberang tiba-tiba meluru dan menanduknya sehingga tercampak ke dalam kolam kering berhampiran.

    “Sebaik terjatuh kerbau itu sekali lagi menanduk saya. Ketika ia cuba menaduk kali ketiga saya sempat memegang tanduk dan membenam kepalanya ke tanah.

    “Saya ambil kesempatan untuk melarikan diri dengan badan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mertang, Seri Menanti.

    Mohd Arshad berkata dia kemudian menunggang motosikal ke sebuah warung kira-kira 150 meter dari kolam udang itu, sebelum dihantar ke klinik berhampiran dan dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

    BH ONLINE

  • Lelaki separuh bogel curi pakaian dalam wanita ditahan

    KOTA KINABALU — Seorang lelaki ditahan bersama beberapa pakaian dalam wanita dipercayai di curi dari asrama sebuah kolej di Likas, di sini, Selasa lalu.

    Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan dan hanya berseluar dalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kejadian disedari mangsa seorang wanita yang juga penuntut kolej berusia 21 tahun.

    Katanya, mangsa mendapati pintu utama asramanya dalam keadaan terbuka sebelum menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam asrama berkenaan.

    “Ketika ditemui, suspek dalam keadaan separuh bogel dengan hanya berseluar dalam.

    “Bimbang dengan keselamatan dirinya, mangsa terus membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kasim berkata, bertindak atas laporan, suspek yang membawa beg sandang ditahan di lokasi sama sejurus selepas itu.

    Katanya, hasil pemeriksaan pada beg sandang berkenaan, polis menemui beberapa pakaian dalam wanita dipercayai dicuri suspek.

    “Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379/448 Kanun Keseksaan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Dinding konkrit DUKE runtuh dirempuh lori, hempap kereta bawah lebuh raya

    KUALA LUMPUR — Tembok konkrit penghadang jalan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Sentul, di sini runtuh dirempuh lori terbabas, sebelum menghempap kereta di bawah lebuh raya terbabit.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang selepas sebuah lori yang menggunakan DUKE dikatakan terbabas merempuh tembok penghadang jalan, menyebabkannya runtuh.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan kejadian itu, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

    Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

    Sementara beberapa foto yang dikongsi netizen menunjukkan blok konkrit yang runtuh daripada lebuh raya menghempap sebuah Perodua Kenari yang sedang diparkir di ruang bawah laluan itu.

    Kejadian itu menyebabkan bahagian kanan kereta terbabit remuk, dengan beberapa petugas juga dilihat sedang membersihkan runtuhan di lokasi.

    BH ONLINE