Dua sahabat maut, seorang parah kemalangan langgar lori tangki

PORT DICKSON – Dua sahabat maut, satu lagi parah apabila kereta yang di pandu hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah lori tangker di Kilometer 27.2 Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) arah ke Port Dickson pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mustaffah Husin berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 6.20 pagi tadi antara sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah lori tangki dari arah Seremban ke Port Dickson menyebabkan dua lelaki maut dan satu parah.

“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun itu dari arah Seremban menghala ke Port Dickson melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tangki yang dipandu seorang lelaki 57 tahun dari arah yang sama dan menyebabkan kereta mangsa berpusing lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang kereta Perodua Myvi mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan pula mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, pemandu kereta yang maut berusia 21 tahun dan penumpang belakang lelaki yang maut berusia 20 tahun manakala rakan mereka yang cedera, lelaki berusia 26 tahun.

Namun, pemandu lori tangki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak polis mengharapkan pengguna lebuh raya SPDH yang nampak kejadian kemalangan itu agar tampil membantu siasatan Polis.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Zulhelmi Azman di talian 016-9984806 atau boleh terus ke mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Mustaffah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Difahamkan semua mangsa dalam perjalanan balik ke rumah keluarga mereka di Teluk Kemang dan jenazah kedua mereka sudah dituntut ahli keluarga sebaik selesai bedah siasat di Bilik Mayat Hospital Port Dickson.

BH ONLINE