MUAR – Seorang penganggur dipenjara lima bulan selepas gagal membayar denda RM2,800 yang dikenakan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengintai wanita di sebuah tandas awam, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Nazrullah Basir, 24, sebelum itu dijatuhi hukuman denda itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 26 tahun dengan mengintai melalui bawah pintu tandas awam Tanjung Emas, di sini, pada jam 9.30 pagi 14 April lalu.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada dalam tandas awam wanita itu menjerit selepas menyedari seorang lelaki mengintainya melalui bawah pintu, menyebabkan tertuduh melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Bagaimanapun, penjaga tandas di situ ternampak tertuduh dan memaklumkan kepada polis yang kemudian menahan lelaki itu pada jam 12 tengah hari 21 April lalu bagi membantu siasatan kes itu.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludin, manakala tertuduh diwakili Tee Xi Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
BH ONLINE