SEREMBAN – Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height, malam tadi.
Dalam nahas jam 8.30 malam, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki berumur 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berumur 17 tahun dari arah Senawang ke Paroi.
“Tiba di lokasi kejadian, pemandu Honda Jazz dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal di sebelah kiri,” katanya.
Akibat rempuhan itu, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss yang cedera parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal Honda Vario cedera parah dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, G Sankar di talian 014-6000353.
BH ONLINE